Berpandukan keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan tahun lalu – UPSR, PMR, SPM dan STPM – tidak munasabah jika sekolah di Terengganu gagal disenaraikan status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) bagi 2011.
Usaha sedang dilakukan bagi menjamin ada sekolah di Terengganu yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dari segi keputusan peperiksaan dan pengurusan untuk turut disenaraikan.
Sebelum ini, kerajaan negeri sudah mengemukakan dua sekolah iaitu Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun dan SM Mak Lagam, Kemaman untuk pertimbangan kementerian bagi dimasukkan dalam senarai 20 SBT yang diumumkan tahun ini, bagaimanapun gagal memenuhi kriteria.
Berikutan itu, kerajaan negeri sudah membuat rayuan kepada kementerian dan berharap akan ada daripada 16 sekolah yang dikenal pasti termasuk dalam senarai 30 SBT untuk tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata baru-baru ini, kerajaan berusaha untuk mewujudkan 100 buah SBT menjelang 2012 berbanding 20 buah SBT sekarang.
SBT menjadi penanda aras bagi kecemerlangan sesebuah sekolah itu yang setanding dengan sekolah-sekolah di negara maju,
Muhyiddin berkata kumpulan pertama 20 SBT yang diumumkan pada tahun ini menunjukkan usaha untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di negara ini sudah berhasil namun pencapaian tersebut bukan suatu alasan bagi semua pihak untuk berpuas hati.
Katanya SBT seperti SK Bandar Baru Uda 2 yang mencapai kecemerlangan di dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sejak 2003 boleh berkongsi pengalaman mereka dengan sekolah lain agar budaya pencapaian kecemerlangan yang diamalkan di SBT dapat disebarkan.
Muhyiddin berkata sekolah yang mencapai taraf SBT diberikan sedikit autonomi agar dapat mencari inisiatif yang lebih kreatif dan inovatif untuk mencapat tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.
Selain itu, SBT bebas mengubah ko-kurikulum bagi memberikan lebih masa dan tumpuan terhadap bidang-bidang yang mana pencapaiannya adalah rendah.
Melihat kepada pentingnya sekolah di Terengganu turut disenaraikan sebagai SBT, kerajaan negeri menyenaraikan 16 sekolah menengah, termasuk sekolah rendah yang akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata 16 sekolah itu termasuk empat Sekolah Menengah Imtiaz dan sebuah sekolah elit.
Katanya, matlamat kerajaan negeri adalah untuk melihat semua sekolah di negeri ini berada dalam kategori SBT kerana dari segi akademik dan kemudahan prasarana sekolah di Terengganu antara yang terbaik.
No comments:
Post a Comment