Sunday, May 2, 2010

Khalid Jamlus wajar balas kepercayaan T-Team

T-Team semestinya menagih kelibat terbaik Khalid Jamlus, bukan sekadar mencukupkan pemain.

Khalid yang sering mengalami kecederaan, seharusnya tidak menyebabkan T-Team merasa serba salah apabila mengambilnya seperti yang berlaku kepada pasukan Kelantan sebelum ini.

Khalid yang suatu ketika digeruni ketika bersama Perak dan Selangor tidak sewajarnya meneruskan ‘pengembaraannya’ dengan menjadikan T-Team sebagai pasukan hinggap selepas disisih Kelantan dan kontraknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru tamat.

Khalid tidak begitu menyerlah ketika bersama ATM.

Hasrat kerajaan Terengganu kepada Khalid adalah tinggi kerana T-Team melahirkan keyakinan pasukan berstatus kelab itu akan berada pada kedudukan selesa dalam Liga Super, seterusnya melangkah ke Piala Malaysia.

Keyakinan itu diletakkan penyertaan bekas penyerang kebangsaan itu dan Khalid sewajarnya membalas budi di atas kepercayaan yang diberikan itu.

Walaupun kontrak pemain itu bergantung kepada kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan T-Team sudah menyatakan hasratnya bercadang menggunakan khidmat Khalid sehingga ke penghujung musim ini, dan sambungan kontraknya akan bergantung kepada penilaian dari semasa ke semasa.

Khalid pula memberi jaminan akan memberikan yang terbaik dalam membantu hasrat T-Team untuk berada di kedudukan terbaik dalam Liga Super.

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kehadiran Khalid sebagai penyerang berpengalaman, dijangka dapat menyelesaikan masalah penyudah tumpul skuad itu.

''Prestasi pasukan setakat ini turun naik. Apabila kami bertemu pasukan kuat, kami menghadapi kesukaran dalam mencari penyudah.

''Pasukan ini sememangnya sudah mantap namun dengan kehadiran Khalid, ia akan dapat menyelesaikan masalah di bahagian serangan," katanya ketika ditemui di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Kuala Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri berkata, pemain yang baru menamatkan kontrak dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dijangka memberi nafas baru kepada T-Team.

Katanya, pihaknya telah memaklumkan hasrat untuk mengambil Khalid sebagai pemain T-Team dan kini menunggu kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

No comments:

Post a Comment