Tanah berkenaan yang mereka usahakan dengan tanaman lain sebelum ini akan dibangunkan oleh Felcra Berhad dengan tanaman kelapa sawit bermula bulan Ogos ini.
Setiap penduduk terlibat menerima 0.4 hektar dan penyerahan geran hak milik tanah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat dalam satu majlis yang diadakan di Balai Raya Kampung Nibong dekat sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Timur, Mohd. Sebri A. Said.
Seorang penerima, Muda Ahmad, 64, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila mendapat tanah yang telah diusahakannya sejak 17 tahun itu walaupun ia akan dimajukan oleh Felcra.
Katanya, sebelum ini tanah tersebut ditanam dengan pokok stam iaitu sejenis pokok balak, namun hasilnya tidak begitu lumayan.
"Dahulu kayu ini sering mendapat permintaan yang tinggi namun kini tiada orang yang ingin membelinya menyebabkan banyak tanah yang diusahakan dengan tanaman ini tidak mendapat hasil.
"Oleh itu, penduduk di sini mula menanam pokok rambutan, namun pendapatan juga tidak seberapa dan saya amat gembira Felcra akan memajukan tanah ini," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Bagi Maimunah Abd. Rahman, 40, segala titik peluh mengusahakan tanah itu selama ini berbaloi dan penantian menjadi kenyataan apabila tanah yang diidam-idamkan kini dimilikinya walaupun mengambil masa lama.
Dia berharap Felcra dapat memajukan tanah tersebut dan dapat membantu menambahkan pendapatannya sekeluarga.
"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak membantu penduduk di sini mendapatkan tanah ini. Walaupun ia tidak seluas mana tapi amat bererti kepada kami,"
No comments:
Post a Comment