Thursday, May 20, 2010

Anuar Manan dapat ganjaran Kerajaan Terengganu


Anuar menunjukkan replica cek dan geran tanah – Gambar Zulkifli Putra


Raja pecut Le Tour de Langkawi Anuar Manan Rabu menerima sumbangan RM10,000 serta sebidang tanah daripada kerajaan negeri Terengganu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said selepas beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri semalam.

Ahmad berkata tanah tersebut seluas 449 meter persegi bernilai RM36,000 yang terletak di kawasan Tok Adis Kuala Ibai.

"Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri terhadap atlet-atlet sukan yang berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Anuar berkata beliau ingin balik ke Terengganu sekiranya mempunyai pekerjaan tetap di negeri itu.

Pada masa ini beliau menetap di Kuala Lumpur.

"Kayuh basikal belum tentu menjamin masa depan," katanya.

Anuar yang mewakili sebuah kelab lumba basikal dari Korea akan menghadapi dua kejohanan antarabangsa iaitu Singapore Endurance Race di Singapura ari 27 hingga 28 Mei ini dan De Tour Jakarta pada 13 Jun depan.

Ahmad Said pada awal Mac berkata Anuar Manan bakal menerima durian runtuh selepas kerajaan Terengganu bersetuju menghadiahkannya wang tunai sebanyak RM10,000 dan sebidang tanah sebagai ganjaran kejayaannya.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri sebagai menghargai jasa pelumba basikal sensasi itu mengharumkan nama negeri dan negara pada LTdL.

"Hadiah yang akan diterima oleh Anuar itu, sama seperti hadiah yang diberikan kepada pelumba basikal dunia Azizulhasni Awang sebagai mengiktiraf kejayaannya. Kejayaannya merupakan satu sejarah kepada negara," katanya di Kuala Terengganu
Katanya kerajaan negeri juga bangga kerana ramai jaguh lumba basikal negara berasal dari Terengganu.

Selain Anuar, tujuh lagi anak negeri itu bertanding pada LTdL baru-baru ini, katanya.

Berasaskan faktor itu Ahmad mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan negeri akan menubuhkan pasukan sendiri untuk bertanding pada LTdL akan datang.

No comments:

Post a Comment