Thursday, May 20, 2010

TDM Akan Bina Hospital Baharu Di Kuantan

TDM Bhd merancang membina sebuah hospital bernilai RM100 juta di Kuantan, Pahang, yang dijangka beroperasi penuh pada 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata syarikat induk pelaburan kerajaan negeri Terengganu itu sekarang ini mengendalikan Pusat Perubatan Kelana Jaya di Selangor, Pusat Perubatan Kuantan di Pahang dan Hospital Pakar Kuala Terengganu di Terengganu.

"Kami akan terus membina kewujudan kami dalam pasaran penjagaan kesihatan sekunder khusus dengan memperkukuhkan kapasiti kami khususnya di wilayah Pantai Timur," kata Badrul Hisham kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan suku pertama TDM di sini Rabu.

Bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2010, TDM mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai RM27 juta berbanding RM6.5 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehannya meningkat 33 peratus kepada RM89.9 juta bagi suku yang dikaji daripada RM67.7 juta yang dicatatkan pada 2009.

Badrul Hisham berkata segmen perladangan menyumbang 74 peratus, penjagaan kesihatan (10 peratus) dan lain-lain (14 peratus) kepada keuntungan sebelum cukai syarikat.

Segmen perladangan mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM61.87 juta berikutan perolehan RM65.92 juta yang dibantu oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah dan biji sawit.

Beliau berkata syarikat itu merancang untuk meningkatkan pengeluaran minyak sawit mentah kepada 20.05 tan metrik sehektar atau sejumlah 651,100 tan metrik menerusi program tanaman semula, penyuburan sawit dengan baja, menambah baik proses pemindahan tanaman dan meningkatkan kapasiti kilang.

TDM menguruskan 12 estet minyak sawit di Terengganu yang meliputi kawasan seluas 32,897 hektar.

Badrul Hisham berkata syarikat itu juga memperoleh tanah seluas 25,000 hektar di Kalimantan, Indonesia, di mana 3,000 hektar daripada tanah itu akan mula dibangunkan tahun ini.

Bagi segmen penjagaan kesihatan, TDM mencatat keuntungan sebelum cukai RM2.7 juta pada suku pertama berbanding RM1.4 juta pada 2009 disebabkan oleh peningkatan pada jumlah pesakit.

Perolehannya meningkat kepada RM18.8 juta daripada RM15.2 juta sebelumnya.

Bagi bahagian makanan, Badrul Hisham berkata syarikat itu merancang menamatkan pembabitannya di dalam bahagian itu.

"Kami kini sedang mencari pembeli yang sesuai. Dua hingga empat pembeli telah menemui kami dan kami sedang menilaikannya (mereka)," katanya, sambil menyatakan bahawa syarikat itu tidak tergesa-gesa untuk menjual bahagian itu.

No comments:

Post a Comment