Friday, May 21, 2010

Bangunkan Industri Pelancongan Berdasarkan Apa Yang Kita Ada

Cara terbaik untuk membangunkan industri pelancongan di Malaysia ialah dengan memanfaatkan apa yang boleh ditawarkan oleh negara, kata Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Victor Wee.

Selain bertukar-tukar pandangan mengenai bagaimana untuk memaksimumkan potensi pelancongan, Wee berkata negara-negara yang mahu memanfaatkan bidang pelancongan untuk meningkatkan ekonomi mereka perlu menyelaraskan kekuatan mereka dan kreatif dalam menarik pelancong.

Menjadikan Malaysia sebagai contoh, katanya malahan musim tengkujuh telah dijadikan produk pelancongan disebalik hakikat ia dianggap sebagai musim yang kurang menerima kedatangan pelancong dan menjejaskan potensi pelancongan.

Merujuk kepada perlumbaan kapal layar "Piala Monsun" di pantai Terengganu, Wee berkata tempoh musim tengkujuh yang mengalami angin kencang dan hujan lebat terbukti mempunyai kelebihan melalui perancangan betul.

"Kami menganjurkan pertandingan. Kami mempelawa orang...pelayar untuk datang dan bertanding antara satu sama lain. Di sebalik melihat musim tengkujuh sebagai kekurangan, ia kini menjadi ciri dalam pelancongan kami dan meletakkan negara dalam peta dunia," katanya dalam panel perbincangan pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-6 semalam.

Perbincangan bertajuk "Menerokai Potensi Pelancongan: Memanfaatkan Sumber", dipengerusikan oleh Pengerusi Malaysia Airlines dan Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid.

Wee berkata dengan memanfaatkan ciri-ciri pelancongan terbaik negara - pelbagai kaum etnik - Malaysia telah memanfaatkan apa yang ada dalam negara dan menganjurkan kempen 'Malaysia Truly Asia' yang telah menjadi jenama tersendiri.

Selain itu, katanya untuk meningkatkan lagi industri pelancongan, Malaysia telah mengambil langkah penting dengan menyediakan pakej pelancongan untuk menjadikannya lebih menarik kepada pasaran tertentu.

Ini termasuk pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan, produk inap desa, pelancongan berasaskan ekologi, program "Malaysia Rumah Kedua" dan festival beli-belah yang mensasarkan pasaran berbeza di seluruh dunia.

Wee berkata pelancaran Tahun Melawat Malaysia pada 2007 berjaya meningkatkan perspektif pengusaha pelancongan dan membantu mereka lebih memahami objektif inisiatif pelancongan kerajaan.

"Strategi ini telah menyaksikan angka ketibaan pelancong meningkat empat kali ganda dalam tempoh 10 tahun; daripada 5.5 juta ketibaan pelancong pada 1998 kepada 22 juta pada 2008," katanya.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Maldives Dr Ahmed Ali Awad, yang juga seorang daripada panel itu, menyentuh mengenai evolusi yang berlaku dalam industri pelancongan negara itu daripada hanya produk inap desa kepada resort mewah sekarang.

Mengakui kurangnya sumber dan hubungan pada 1960-an, Dr Ahmed Ali berkata negara pulau itu ketika itu tidak tersenarai dalam laluan utama pelancongan.

"Beberapa pengusaha perintis membawa pelancong Eropah bagi program inap desa ke pulau-pulau dengan bot biasa. Mereka menyebarkan kisah percutian mereka di sini secara dari mulut ke mulut, dan begitulah bagaimana industri pelancongan kami bermula," katanya.

Mengiktiraf potensi pelancongan negaranya, kerajaan memberi jaminan akan mengutamakan pembangunan infrastruktur termasuk membina lapangan terbang antarabangsa yang kemudiannya meletakkan pulau itu dalam senarai laluan udara, katanya.

Bagaimanapun, katanya dasar konsep unik "Satu Pulau, Satu Resort" yang menekankan pemuliharaan alam sekitar dan memastikan pembangunan lestari telah berjaya meningkatkan industri pelancongan Maldives.

"Kami mematuhi dasar "satu pulau, satu resort" yang mengehadkan hanya sebuah resort dibina di setiap pulau. Dan semua struktur resort hanya boleh memenuhi 20 peratus daripada kawasan tanah di pulau itu dan tidak boleh dibina lebih tinggi daripada pokok paling tinggi," katanya.

Anggota Majlis Eksekutif Kementerian Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Afrika Selatan, Michael Mabuyakhulu, pula berkata pengusaha dalam industri pelancongan perlu menjalankan perniagaan secara berbeza bagi memenuhi kehendak pelancongan masa kini.

Beliau berkata untuk memenuhi keperluan mereka bagi "lebih output, sedikit input", pengusaha industri itu perlu menambahbaik perkhidmatan dan kualiti produk mereka.

Mabuyakhulu berkata zaman untuk menjual negara masing-masing secara bersendirian sudah berlalu, oleh yang demikian pengusaha industri perlu bekerjasama untuk menjual rantau sebagai destinasi.

Beliau berkata Afrika Selatan telah mula mengambil langkah itu menjelang pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di negara itu.

Panel itu merumuskan pelancongan mempunyai potensi untuk mengubah wajah sesebuah negara, membina jambatan kebudayaan dan membasmi kemiskinan jika strategi yang betul digunakan.

No comments:

Post a Comment