Kenshido International Sdn. Bhd. yang membangunkan program kaedah pembelajaran secara online, Score A memperuntukkan kira-kira RM500,000 bagi menubuhkan Skuad Jelajah 1Malaysia Score A bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) tahun ini.
Jelajah Score A kini di Terengganu yang menjadi negeri yang pertama dijelajahi bagi kawasan Timur yang sebelum ini turut menjelajahi kawasan Utara, Tengah dan Selatan.
Pengurus Kanan Bahagian Penyelidikan Pemasarannya, Rameyzee Zainuddin berkata, peruntukan itu disediakan sebagai tanggungjawab sosial dalam usaha memperkenalkan program Score A kepada pelajar bersama-sama GPMS di seluruh negara.
Katanya, melalui program itu, 20 buah sekolah di setiap negeri dipilih untuk diberi penerangan mengenai program pembelajaran secara online yang berpandukan sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran.
Menurut beliau, 10 pelajar miskin di setiap negeri akan dipilih untuk dijadikan anak angkat dengan mendapatkan kaedah pembelajaran tersebut secara percuma.
"Program skuad jelajah ini adalah untuk membantu pelajar bersedia menghadapi peperiksaan dan mendapat keputusan A," katanya ketika ditemui bersama skuad jelajah itu di Kuala Terengganu, semalam.
Sehingga ini, katanya, kira-kira 687,000 pelajar di seluruh negara telah menggunakan program tersebut dan dijangka seramai 1.5 juta pelajar sehingga akhir tahun ini.
Rameyzee berkata, program Score A merupakan pelopor dalam portal pendidikan di negara ini yang mula diperkenalkan pada 2002.
Katanya, Score A merupakan pembelajaran lengkap merangkumi input dan output yang disediakan untuk pelajar sebagai persediaan menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau menambah, program ini direka khas secara terperinci bagi menyediakan pelajar dengan suatu kaedah pembelajaran yang sempurna dalam membantu mereka menghadapi peperiksaan.
"Malah pelajar boleh menilai sendiri kemajuan dan prestasi akademik mereka dengan lebih mudah serta berkesan, selain menilai sendiri tahap keupayaan, kesediaan dan kefahaman tentang apa yang mereka pelajari di sekolah," katanya.
Katanya, program yang meliputi 100 peratus sukatan mata pelajar dan silibus terkini daripada kementerian mengandungi lebih 250,000 soalan-soalan terbaik yang sentiasa dikemas kini merangkumi bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Cina dan Matematik.
Menurut beliau lagi, pada masa ini, pihaknya sedang membangunkan e-pendidikan Islam dan e-Arabic untuk pelajar tingkatan satu hingga tiga yang akan diperkenalkan pada Jun ini.
Melalui program itu katanya, ia akan dimuatkan soalan dan jawapan, soalan ramalan dan tafsir al-Quran.
No comments:
Post a Comment