Thursday, May 6, 2010

Banjir di Gong Badak akan diatasi

Banjir yang seringkali melanda Gong Badak dan kawasan sekitarnya dijangka dapat ditangani apabila kerajaan negeri meluluskan proses pengambilan tanah bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan itu.

Proses pengambilan tanah berkenaan meliputi kawasan bersebelahan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di kampus Kusza di Gong Badak.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika memberi jaminan itu berkata, selain itu, langkah yang sama turut dilaksanakan di kawasan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan kawasan sekitar Kampung Tok Jembal.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut keluasan sebenar kawasan yang terlibat dengan proses pengambilan tanah tersebut tetapi menjelaskan, ia membabitkan sebahagian besar tanah milik kerajaan.

"Hari ini, mesyuarat Exco kerajaan negeri meluluskan proses pengambilan tanah untuk kerja-kerja pembinaan sistem perparitan di sebelah UDM di kampus Kusza.

"Begitu juga di kawasan sebelah lapangan terbang (LTSM) dan di Kampung Tok Jembal.

Sebelum ini banjir berlaku di kawasan ini malah ada juga lapang sasar di situ yang tenggelam.

"Untuk fasa pertama, membabitkan kos kira-kira RM5 juta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman semalam.

Ahmad memberitahu, kerja-kerja bagi pengambilan tanah di kawasan berkenaan dijangka mengambil masa setahun dan sejurus dilaksanakan kelak, sistem perparitan itu akan menyalurkan air ke sungai-sungai berdekatan.

"Usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu menangani masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment