Monday, May 31, 2010

'Buah tangan istimewa' untuk guru Terengganu


Ahmad Said merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri semalam

Kerajaan negeri Terenganu akan menghadiahkan ‘buah tangan istimewa’ untuk kira-kira 22,000 guru sekolah menengah dan rendah di negeri itu mulai awal Jun ini.

Hadiah itu sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada golongan guru yang komited sehingga meletakkan Terengganu di tangga teratas dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi UPSR, Terengganu dinobatkan negeri terbaik buat sembilan tahun berturut-turut manakala tiga tahun berturut-turut bagi SPM.

''Saya akan menyerahkan 'buah tangan' itu untuk setiap seorang guru bermula sambutan Hari Guru peringkat daerah Kemaman awal Jun ini sebelum ke daerah lain di seluruh negeri.

''Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan 'buah tangan istimewa” dan barangan tersebut sudahpun ditempah," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dekat Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Said bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk 'buah tangan' tersebut dan perkara itu hanya diketahui pada majlis penyerahan itu nanti.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga akan menghantar guru-guru cemerlang untuk mengadakan lawatan ke luar negara tahun depan jika Terengganu berjaya menjadi negeri terbaik buat kali ke-10 berturut-turut dalam UPSR tahun ini.

Beliau memberitahu, begitu juga sekiranya Terengganu muncul terbaik dalam SPM dan PMR untuk kali keempat berturut-turut, guru-guru cemerlang akan dihantar melawat ke luar negara tahun depan sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.

"Sebelum ini, 50 orang guru sudah dihantar melawat Australia selama seminggu dan untuk tahun depan, jika Terengganu berjaya menjadi negeri terbaik sekali lagi, 60 orang guru lagi akan kita hantar ke luar negara sambil belajar," katanya.

No comments:

Post a Comment