Thursday, May 6, 2010

Enam penaja serah tajaan jayakan Boat On The Road


MIOR Kamarul (enam dari kanan) bersama penaja konvoi dan pertandingan memancing Boat On The Road, di Balai Berita, semalam.


Enam penaja tampil menyerahkan tajaan keseluruhan bernilai RM27,000 sebagai komitmen terhadap penganjuran konvoi dan pertandingan memancing Boat On The Road dari TV3 Sri Pentas ke Tasik Kenyir, Terengganu mulai esok hingga Ahad ini.

Acara tiga hari itu mendapat kerjasama Kerajaan Terengganu yang membantu membiayai sebahagian kosnya apabila menyediakan peruntukan RM150,000 kerana program berkenaan turut mempromosikan sektor pelancongan di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.

Penaja berkenaan ialah Tourism Malaysia, Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL-Coleman), TCE Tackles Sdn Bhd, Boat Explorer Sdn Bhd, Outworld Pro Gear serta Super Best Power Sdn Bhd.

Tajaan diserahkan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Mior Kamarul Shahid di Balai Berita Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mahfar Ali.

Pada majlis itu, Tourism Malaysia menaja wang tunai dan hamper bernilai RM12,000 yang diserahkan Pengarah Bahagian Pembangunan Industrinya, Zulkifly Md Said. UFL-Coleman pula menaja perkakasan rekreasi termasuk bot tiub, lampu dan kotak sejuk bernilai RM5,000 diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Radha Krisnan.

TCE Tackles Sdn Bhd yang diwakili Pengurus Pemasarannya, Micheal Tan menyerahkan tajaan peralatan memancing bernilai RM3,000. Sebuah bot gentian kaca bernilai RM3,000 pula ditaja Boat Explorer Sdn Bhd yang diserahkan Pengarah Urusannya, Mike Thien.

Syarikat Outworld Pro Gear pula menaja 15 beg kalis air bernilai RM1,500 untuk dijadikan hadiah peserta. Tajaan diserahkan Pengurus Programnya, Khairil Yusree. Manakala Pengurus Besar Super Best Power (M) Sdn Bhd, Kamal Mohd Noor, menyerahkan pek minuman kopi kesihatan bernilai RM2,500 untuk diagihkan kepada peserta.

Konvoi dan pertandingan memancing Boat On The Road dianjurkan Unit Joran Berita Harian dan TV3 sempena mempromosikan 13 episod Jelajah Joran yang memaparkan aksi memancing di beberapa lubuk di seluruh negara, termasuk Tasik Kenyir, jam 5 petang mulai 16 Mei.
Sempena pertandingan itu, penganjur menjemput kaki pancing menyertai Kategori Tebing dekat Pangkalan Gawi, jam 9 pagi pada 8 Mei ini yang menawarkan hadiah keseluruhan RM3,000 dengan yuran cuma RM10. Maklumat hubungi 013-3310166 atau 019-3419991

No comments:

Post a Comment