Sunday, May 2, 2010

Fama Sedia 10 Pusat Pembelian Buah-Buahan Bermusim Di Terengganu

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan menyediakan sekurang-kurangnya 10 pusat pembelian buah-buahan bermusim di Terengganu tahun ini.

Pegawai Fama negeri Hasan Jusoh berkata langkah itu bertujuan untuk memastikan harga buah-buahan bermusim stabil dan petani tidak mengalami kerugian besar kerana buah-buahan bermusim seperti durian, duku, langsat dan manggis dijangka masak pada bulan puasa iaitu Ogos ini.

Fama telah bersiap sedia daripada segi peruntukan dan juga peralatan untuk membeli buah-buahan tersebut yang akan dipasarkan ke bandar-bandar utama di seluruh negara, katanya semalam.

Beliau berkata untuk peringkat awal, Fama menyediakan peruntukan kira-kira RM150,000 untuk pembelian buah-buahan tersebut, dan peruntukan itu akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Dalam perkembangan yang lain, Hasan berkata Fama akan membuka empat buah pasar tani baru tahun ini menjadikan keseluruhan pasar tani di Terengganu kepada 15 buah.

Katanya empat pasar tani itu ialah di Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Kuala Terengganu dan mampu menempatkan antara 80 hingga 100 peniaga.

No comments:

Post a Comment