Sunday, May 2, 2010

Jabatan Warisan Baik Pulih 100 Bangunan Lama Di Bawah RMK-9

Jabatan Warisan Negara telah membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi membaik pulih 100 buah bangunan lama dan bersejarah di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pesuruhjaya Warisan Negara, Prof Emeritus Datin Zuraina Majid berkata, antara bangunan lama dan bersejarah yang dibaik pulih termasuk masjid, rumah lama serta bangunan peninggalan sejarah.

Di Terengganu saja kita telah baik pulih empat bangunan atau rumah bersejarah iaitu Masjid Kampung Tuan di Kemaman, Kompleks Pura (rangkaian rumah lama) di Tanjung Sabtu di sini dan bangunan Pejabat Daerah Lama (Besut) yang kesemuanya siap pada 2007.

"Manakala Bangunan Persatuan Sejarah Terengganu mula dibaik pulih pada awal tahun lepas dan dengan peruntukan RM1.9 juta yang siap dalam tempoh 12 bulan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kerja pemuliharaan bangunan Persatuan Sejarah (Malaysia) negeri Terengganu di sini, pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Persatuan Sejarah (Malaysia) negeri Terengganu Datuk Abdul Rashid Ngah.

Selain kerajaan membaik pulih bangunan lama dan bersejarah, orang ramai juga digalak berbuat demikian bagi mengembalikan kegemilangan dan keindahan bangunan lama, katanya.

"Kita dapati bangunan lama mempunyai nilai sejarah yang begitu hebat dan ia perlu dibaik pulih agar nilai sejarahnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata Jabatan Warisan juga sedang melatih kontraktor supaya mereka mahir membaik pulih bangunan lama kerana kerja-kerja membaik pulih memerlukan penelitian yang tinggi.

"Sehingga ini kita adakan kursus-kursus kepada kontraktor sebanyak tiga kali setahun bagi memberi kemahiran kepada kontraktor yang akan membaik pulih rumah-rumah lama seperti yang asal," katanya.

Mengenai rumah Persatuan Sejarah Terengganu yang terletak di Jalan Tok Lam di sini, beliau berkata ia akan menempatkan tiga buah pejabat iaitu Pejabat Persatuan Sejarah Terengganu, Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan juga Pejabat Warisan Zon Timur.

Abdul Rashid pula berkata rumah Persatuan Sejarah Terengganu akan dijadikan geleri atau 'serambi muzium' dan akan dibuka kepada orang ramai, pelancong terutama pelajar dalam masa terdekat.

"Kita buat galeri untuk orang ramai datang melihat warisan sejarah secara ringkas. Kalau pengunjung merasakan tidak cukup maklumat, mereka boleh pergi ke Muzium Negeri di Losong," katanya.

No comments:

Post a Comment