Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menyarankan supaya bekas penanam tembakau di Terengganu untuk mengusahakan sarang burung walet yang mampu memberi pulangan lumayan.
Pengarah JPV Terengganu, Dr Azizul Mohd Sharom berkata mereka boleh menggunakan bekas rumah salai tembakau yang terbiar dijadikan rumah burung walet.
"Beberapa projek perintis yang melibatkan rumah tembakau di Besut dan Marang telah terbukti memberi hasil yang lumayan," katanya semalam.
Dr Azizol berkata modal yang diperlukan untuk pembinaan rumah burung walit juga dapat dikurangkan dengan adanya rumah salai tembakau.
Menurut beliau daripada tinjauan yang dijalankan ke atas projek di Besut dan Marang, kos yang diperlukan untuk mengubahsuai rumah salai itu lebih kurang RM20,000 sebuah.
Beliau berkata selain itu, rumah salai tembakau itu juga boleh diubahsuai dan dijadikan tempat pemeliharaan ayam kampung.
Sehubungan itu, Dr Azizol berkata pihaknya akan menganjurkan satu seminar dalam masa terdekat untuk memberi penerangan kepada bekas penanam tembakau di negeri ini berhubung peluang ekonomi baru untuk mereka.
Sementara itu, Dr Azizol berkata JPV akan membangunkan sebuah rumah burung walet berharga RM10,000 sebagai model di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, Jerangau, Dungun.
Beliau berkata sarang burung berukuran 20x12 tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri sekiranya berjaya.
No comments:
Post a Comment