Monday, May 17, 2010

Gula: 82 petugas di pasar raya utama

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu menempatkan 82 pegawai dan kakitangannya di pasar-pasar raya utama bagi memantau dan meninjau proses penjualan gula agar tidak berlaku penjualan secara berlebihan.

Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan arahan itu bagi memastikan aliran pembelian dan penjualan berjalan lancar.

Katanya, ia adalah satu satu langkah jabatan dalam memastikan bekalan gula di negeri ini mencukupi untuk keperluan penduduk.

"Selain itu kami juga mahukan semua pasar raya menjual gula dalam satu paket satu kilogram atau seorang pembeli dihadkan membeli dua kilogram sahaja," katanya semalam.

Mengulas lanjut Hilmi berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa penduduk dari luar negeri ini datang membeli bekalan gula di negeri ini dalam jumlah yang banyak.

Katanya, mereka mengambil kesempatan membeli dengan harga lebih mahal daripada harga siling bagi mendapatkan bahan itu.

"Apabila keadaan ini berlaku, penduduk negeri ini pula yang tidak mendapat bekalan gula," katanya.

Beliau berkata, Terengganu menerima bekalan gula yang cukup untuk kegunaan penduduk iaitu 1,800 tan metrik sebulan.

No comments:

Post a Comment