Monday, May 10, 2010

Karnival galak penyertaan generasi muda

Kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kemajuan serta membaiki taraf hidup rakyat supaya memperoleh hidup yang lebih sejahtera.

Ahmad Said (tengah) bersama tetamu mencuba laksa Terengganu pada Program Sepakat Bestari Karnival 1Malaysia Seni Budaya Terengganu di Kampung Atas Tol, Marang, kelmarin.

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Abdullah Murad berkata bagi meningkatkan tahap pencapaian yang lebih baik, kerajaan memberi keutamaan dalam beberapa bidang antaranya memerangi jenayah.

"Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kadar jenayah sehingga 20 peratus selain membanteras kegiatan rasuah secara habis-habisan agar amalan itu dihapuskan sama sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Sepakat Bestari Karnival 1Malaysia Seni Budaya Terengganu oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said di Kampung Atas Tol dekat Kuala Terengganu kelmarin.

Abdullah berkata perkara lain yang diberi perhatian utama ialah menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih sempurna dan membasmi kemiskinan dengan menyediakan kemudahan perumahan serta peluang pekerjaan yang lebih baik.

Mengenai penganjuran Program Sepakat Bestari Karnival 1Malaysia Seni Budaya Terengganu, katanya program itu berjaya menarik golongan muda melibatkan diri dalam aktiviti seni dan kebudayaan masyarakat setempat.

Katanya, melalui program berkenaan mereka dapat mengenal dan mempelajari kepelbagaian budaya dan tradisi penduduk sesebuah kampung yang semakin kurang diminati.

Justeru katanya, program berkenaan bakal diteruskan di tempat lain bagi membolehkan lebih ramai generasi muda dan belia menyertai program-program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.

"Di negeri ini kita mempunyai kira-kira 83 buah Komuniti Bestari dan setiap kawasan mempunyai keistimewaannya sendiri yang perlu ditonjolkan sekali gus dapat mempopularkan kawasan tersebut.

"Melalui peruntukan sedia ada, kita yakin dapat memanfaatkan program Komuniti Bestari di setiap kawasan dalam usaha mengekalkan seni budaya masyarakat setempat," katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Sepakat Bestari Karnival 1Malaysia Seni Budaya Terengganu di Kampung Atas Tol di sini semalam.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said serta isteri, Toh Puan Norliza Mahmud yang turut menyempurnakan majlis penutup selain melawat pameran yang diadakan di karnival berkenaan.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei itu menjadi tumpuan apabila kira-kira 2,000 orang mengunjungi karnival berkenaan.

Pelbagai aktiviti disediakan seperti pameran pelbagai agensi kerajaan, aktiviti kesukanan, kebudayaan, pertandingan membuat wau dan kuih tradisional.

Sementara itu seorang peserta karnival, Esah Osman, 46, yang mahir dalam membuat kuih tradisional Melayu mengakui amat gembira apabila berpeluang menyertai karnival berkenaan.
Menurutnya, karnival yang julung-julung kali diadakan di kawasan itu menarik ramai pengunjung terutama di kalangan belia.

"Rugi jika tak datang ke sini kerana pelbagai aktiviti diadakan contohnya pada hari ini saya menunjukkan demonstrasi membuat kuih tradisional 'lok lit' yang amat sukar untuk dinikmati pada masa kini, jelasnya.

No comments:

Post a Comment