Monday, May 10, 2010

Lebih Banyak Gelanggang Permotoran Akan Dibina Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu akan membina lebih banyak gelanggang sukan permotoran dalam usaha mencungkil bakat baru dalam sukan itu di negeri ini.

Selain itu ia adalah saha membendung kegiatan mat rempit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, kerajaan negeri juga mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam menganjurkan aktiviti permotoran melibatkan golongan muda di peringkat daerah.

"Kita harap pembinaan gelanggang permotoran ini secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah mat rempit di negeri ini," katanya selepas majlis perasmian pameran automotif di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu semalam.

Menurut Abdul Rahin, setakat ini kerajaan negeri telahpun membina dua litar diwujudkan iaitu di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak dan di Lembah Bidong, Setiu.

Abdul Rahin berkata litar di Gong Badak menelan belanja RM400,000.

''Litar di Kompleks Sukan Negeri Gong Badak kini digunakan untuk acara lumba motosikal sprint oleh pelbagai pihak termasuk kelab-kelab permotoran," ujarnya.

Beliau berkata, litar di Lembah Bidong yang digunakan untuk acara 'drift' bagi kereta dan motosikal pula terpaksa ditutup selepas masyarakat setempat mengadu ia menjadi tempat masalah sosial berleluasa.

''Kerana kawasan tersebut dikelilingi semak samun, ia sering disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, jadi kita terpaksa tutup tempat itu.

''Namun, jika ada pihak yang sanggup memastikan ia dapat diatasi ketika menganjurkan acara permotoran di litar itu, kita tidak ada masalah membukanya," jelasnya.

Katanya, penglibatan NGO-NGO selain kelab-kelab permotoran dalam menganjurkan aktiviti berkenaan akan membantu mengadakan banyak aktiviti terutama di peringkat daerah.

Katanya satu perhimpunan kelab permotoran negeri Terengganu yang dijangka dihadiri 10,000 peminat motor akan diadakan di Stadium Tertutup di Gong Badak pada 18 Mei ini.

No comments:

Post a Comment