Thursday, May 6, 2010

MPEN Adakan Penerangan Bergerak MEB

Sesi turun padang dan penjelasan menyeluruh Model Ekonomi Baru (MEB) akan diadakan di seluruh negara bagi mengikis persepsi negatif terhadap agenda kerajaan dalam membasmi kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin berkata masih ramai yang merasa bimbang dan kurang senang terhadap model itu, terutama di kalangan Bumiputera.

Sehubungan itu katanya, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang kini dipengerusikan oleh Tan Sri Amirsham A Aziz, akan mengadakan sesi penerangan di seluruh negara.

"Memang konsep MEB ini agak kompleks kerana ia bukan sahaja meliputi ekonomi, malah sosioekonomi, mungkin sebab itu masih ada yang kurang faham mengenainya," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan taklimat mengenai MEB anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT), di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Yang Dipertua DPMMT, Datuk Tengku Ismail Tengku Jaafar.

Beliau turut meminta MEB tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak memandangkan model itu tidak menetapkan kuota 30 peratus dalam pemilikan ekonomi, sebaliknya memperkenalkan meritokrasi dan ketelusan.

"MEB isu ekonomi, ia untuk semua, jadi kita harap ia dilihat sebagai "politically blind"," katanya sambil menambah MEB masih tidak jauh bezanya dengan Dasar Ekonomi Baru, cuma pelaksanaannya sahaja yang baharu.

Dr Mahani berkata orang ramai juga dialu-alukan untuk turut sama memberi pandangan mereka terhadap model ekonomi yang dirangka MPEN itu.

"Kerajaan memang mahu ia dibincangkan. Mereka yang mempunyai pandangan atau idea berhubung MEB, boleh menhantarkannya menerusi e-mel kepada http://www.neac.gov.my/.

No comments:

Post a Comment