Thursday, May 6, 2010

Berkeperibadian tinggi elak dadah, jenayah

Golongan pelajar diingatkan cemerlang bukan sahaja dalam bidang pelajaran malah turut menjadi insan berguna kepada keluarga dan masyarakat.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu, Che Soh Che Muda berkata, pelajar perlu memperkuatkan diri dengan disiplin dan berkeperibadian tinggi bagi mengelak terjebak ke dalam gejala sosial termasuk penagihan dadah dan jenayah.

Beliau memberitahu, sebagai pelajar, mereka merupakan harapan kedua ibu bapa serta keluarga untuk berjaya ke arah kehidupan masa depan yang lebih gemilang.

Katanya, masyarakat juga menaruh harapan yang sama kepada pelajar agar mereka menjadi golongan yang membawa kebaikan dan faedah kepada semua orang.

"Justeru itu, ibu bapa kena pikul tanggungjawab yang berat untuk memastikan anak-anak jagaan mereka bukan sahaja berjaya dalam pelajaran malah membawa manfaat kepada orang lain," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penutupan program Sehari Mengenali Sepanjang Hayat Membenci di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut semalam.

Program sehari itu dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Besut dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bertujuan menyedarkan pelajar sekolah menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut mengenai bahaya rokok, dadah, alkohol dan HIV/AIDS.

Che Soh berkata, oleh kerana punca segala gejala itu datangnya dari rumah, ibu bapa perlu memainkan peranan dan memikul tanggungjawab penuh terhadap anak-anak mereka.

"Ibu bapa perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka dan dengan bantuan masyarakat sekeliling, usaha itu boleh membendung mereka melakukan perkara tidak baik," katanya.

Aktiviti di sekolah pula, tambahnya, boleh membantu membimbing pelajar menjadi insan berkeperibadian tinggi serta berjaya dalam pelajaran dan kokurikulum.

No comments:

Post a Comment