Tuesday, May 11, 2010

Pelabur UAE Berminat Labur Dalam ECER

Pelabur dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan minat yang mendalam untuk merebut peluang potensi pelaburan yang meluas di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia, kata penasihatnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Ber dasarkan kepada pertemuan beliau dengan pelabur di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Abdullah berkata yang pelabur ini telah melahirkan minat dalam bidang pertanian, pelancongan, pendidikan, pembaikan sumber bersepadu dan program kesihatan.

"Dari perbualan yang telah kami adakan dengan beberapa pihak di sini didapati minat mereka terhadap koridor ini adalah baik dan (telah) menunjukkan kecenderungan untuk pelaburan," katanya.

Bekas perdana menteri itu berada di sini kerana mengetuai delegasi untuk Misi Pelaburan ECERDC ke Timur Tengah, mulai 7-17 Mei.

Misi itu bertujuan menarik pelabur dari negara-negara Teluk di samping meningkatkan hubungan perniagaan dua hala antara Malaysia dan negara-negara Timur Tengah.

Antara yang menyertai delegasi itu termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingham Issace John, Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation CEO Datuk Seri Jamil Bidin, Datuk Mahadiah Mohamad, Timbalan Setiausaha Negeri Pahang (Pembangunan) dan ketua Pegawai Eksekutif ECER Terengganu, Zulkifli Mohamad.

Abdullah berkata peta hala tuju untuk kerjasama telahpun disediakan, "jadi, kita perlu lihat butirannya dengan terperinci."

"Apa yang perlu ialah memberi maklumat tambahan kepada mereka agar keputusan dapat dicapai dengan cepat.

Di samping itu, mereka juga bersetuju membuat lawatan untuk meninjau dan melihat sendiri ke kawasan koridor ini pada bulan Julai atau Ogos ini," kata Abdullah.

Antara lain Abdullah berkata tujuan kedatangan rombongan ECER di sini ialah untuk mencari pelaburan bagi kawasan ECER. Pada masa yang sama, ia juga untuk menerangkan dan memberi taklimat mengenai apa yang "kita rancangkan untuk pembangunan kawasan ECER."

Selain itu, beliau menambah yang pelabur juga diberi maklumat yang ada hubungkait dengan projek yang dirancangkan dan juga apakah insentif yang kerajaan telah sediakan.

Katanya, para pelabur juga turut dimaklumkan tentang kemudahan infrastruktur yang terdapat di ECER termasuk pekerja terlatih, kelengkapan komunikasi, pengangkutan termasuk air dan udara.

Rantau itu menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal yang menarik yang telah disesuaikan khusus kepada para pelabur yang menceburi kluster atau kelompok ECER masing-masing seperti pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.

Dua insentif teras yang diguna pakai ke atas semua projek ialah pengecualian cukai pendapatan dan elaun cukai pelaburan (ITA). Insentif yang telah disesuaikan turut ada, berdasarkan kepada merit setiap kes.

Para pelabur di ECER juga menikmati insentif bukan fiskal yang ditawarkan. Antaranya, termasuklah premium harga-harga tanah, keanjalan dalam pengambilan ekspatriat, tarif keutamaan untuk utiliti, memberikan status ECER kepada syarikat berkelayakan dan peruntukan geran kepada projek berdaya maju.

Abdullah berkata: "Saya menganggap misi ini telah berjaya dan insyaallah kelak akan menghasilkan pelaburan bagi projek tertentu yang akan diadakan di situ."

Sementara itu, Jebasingam yang turut hadir semasa temubual itu berkata hubungan dan jalinan kerja baik mantan perdana menteri telah menjuruskan kepada kejayaan misi ini di sini.

"(Tun) Abdullah mempunyai hubungan yang baik di sini. Menerusi hubungan beliau dan juga bantuan dari kedutaan kita di sini, kita mampu menembusi rantau ini dan mendapat maklumbalas yang baik," tambah beliau.

ECERDC, ialah jentera tujuan khas yang ditubuhkan untuk memacu pelaksanaan projek dan program penting yang telah dikenalpasti dalam Pelan Induk ECER.

Ia diperkasakan untuk menyediakan hala tuju yang betul, dasar dan strategi berhubung dengan pembangunan dalam lingkungan ECER.

Majlis itu turut diperkasakan untuk menyediakan kerjasama antara entiti kerajaan dalam menggalakkan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pembangunan aktiviti-aktiviti di ECER.

ECER meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta wilayah Mersing di Johor.

No comments:

Post a Comment