Saturday, May 1, 2010

Pelajar ‘kaldai dadah’ jejaskan Anjung Ilmu

Oleh Cikgu Prihatin

Taktik terbaru menggunakan pelajar sebagai 'keldai' dadah di Terengganu amat membimbangkan.

Bukan sahaja dalam konteks jenayah membabitkan remaja tetapi usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu akan tergencat.

Kenapa saya katakan demikian?

Ini kerana dadah dan perniagaannya tidak mengenal remaja dan pelajar yang bijak atau yang kurang bijak.

Apa yang dibimbangi ialah, kegiatan itu turut mensasarkan pelajar-pelajar yang pandai dan jika terjebak mereka akan ‘lalai’ dan prestasi mereka dalam peperiksaan sudah pasti menurun.

Pada ketika Kerajaan Negeri sedang menggalakan pelajar cemerlang, kegiatan menagih dan menjadikan pelajar sebagai ‘keldai dadah’ sewajarnya diperangi habis-habisan.

Usaha ini bukan sahaja jatuh di bahu polis tetapi lebih penting ibu bapa, rakan sebaya, sekolah, guru dan Jabatan Pelajaran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman Kerajaan Negeri memandang serius pembabitan pelajar dalam penyalahgunaan dadah dengan mengambil langkah lebih agresif dan proaktif secara berterusan bagi mengatasinya.

“Masalah ini dalam kalangan pelajar sememangnya wujud dan paling dibimbangkan, ada pengedar menggunakan mereka sebagai alat untuk kegiatan tidak bermoral.

“Justeru, kini kami bergerak aktif menangani masalah ini secara berterusan dengan kerjasama agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pengetua, ibu bapa dan guru,” katanya mengulas mengenai seorang pelajar Tingkatan Dua yang ditahan 26 April lalu kerana dipercayai mengedar dadah di sekolah.

Kelmarin polis menyatakan ia mengesan taktik terbaru pengedaran dadah yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah sebagai 'keldai' untuk mengedarkan dadah di sekolah secara percuma. Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan 'keldai' berkenaan untuk mencari pelajar lain dan memberikan dadah secara percuma.

Setelah pelajar itu mengambil dadah, mereka akan menjadi ketagih dan mula berusaha untuk mendapatkan bekalan daripada 'keldai' dadah itu. Apabila tidak mampu membeli dadah, pengedar mula menawarkan mereka menjadi pengedar kecil-kecilan di sekolah dengan memperoleh bekalan percuma untuk kegunaan mereka sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, taktik berkenaan dikesan apabila dua remaja berusia 14 dan 18 tahun ditahan di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot, kelmarin. Katanya, serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang itu menemui 17 biji pil kuda seberat 1.7 gram.

"Hasil ujian air kencing kedua-dua remaja yang berasal dari Taman Perumahan Gong Badak itu positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman sehingga semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berikutan itu, Roslan mengingatkan ibu bapa agar memantau dan memerhati anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat ini.

Jelas sekali, ibu bapa menjadi alat dan sumber penting menyekat gejala ini daripada berleluasa.

No comments:

Post a Comment