Wednesday, May 19, 2010

Pembinaan Kompleks Haji, Komitmen Dan Inisiatif Beterusan Tabung Haji

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail mengenai kompleks Tabung Haji Terengganu selepas majlis pecah tanah di Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam – Gambar Utusan

Pembinaan Kompleks Tabung Haji merupakan antara komitmen dan inisiatif berterusan Tabung Haji dalam usaha menambahbaik perkhidmatan pengurusan jemaah haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mej Jen (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata wujudnya kompleks itu, proses mengurus jemaah haji ke Tanah Suci Mekah akan menjadi lebih teratur dan kawasan luas di sekeliling kompleks dapat mengelak kesesakan trafik yang biasa berlaku apabila rombongan keluarga jemaah menghantar jemaah ke dewan berlepas.

"Pembinaan kompleks itu merupakan strategi baru Tabung Haji dalam mempelbagaikan sumber pendapatan pada masa ini lebih tertumpu kepada pasaran ekuiti.

"Kompleks-kompleks baru ini mempunyai hotel bertaraf antara tiga dan empat bintang dan lokasinya berhampiran dengan lapangan terbang, yang secara tidak langsung akan mewujudkan permintaan tinggi terhadap bilik-bilik penginapan," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu (KTHKT) di Mukim Kuala Nerus di sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat pada majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Tabung Haji memperoleh kelulusan tanah pada Jun 1995 untuk membangunkan KTHKT di atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar, berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.
Kompleks itu akan dibangunkan oleh TH Properties Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tabung Haji dengan kos RM69.3 juta dan dijangka siap pada 2012.

Baru-baru ini, Tabung Haji mengadakan majlis serupa bagi membina Kompleks Tabung Haji KLIA di Sepang, Selangor yang dijangka siap pada 2013.

Jamil Khir berkata kedua-dua kompleks itu akan berfungsi sebagai pusat jemaah haji berkumpul dan dewan berlepas untuk para jemaah zon berkenaan ke Tanah Suci pada musim haji.

Beliau berkata KTHKT direka khas bersesuaian untuk kegunaan semasa musim haji dengan menyediakan dewan ketibaan khas jemaah, tempat berdaftar, Imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

"Semasa di luar musim haji, dewan ini dapat digunakan sebagai dewan jamuan yang boleh menampung sehingga 1,000 orang. Kemudahan lain yang disediakan termasuk bilik mesyuarat, restoran, kolam renang termasuk kolam renang tertutup untuk wanita dan taman air untuk kanak-kanak," katanya.

No comments:

Post a Comment