Wednesday, May 19, 2010

Program Pengukuhan Bahasa Inggeris

Program pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan adalah antara penyumbang kepada usaha kerajaan dalam membina dan memajukan modal insan anak-anak Terengganu.

Anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Datuk Prof Dr Abdul Rahman Embong berkata, program ini juga memberi peluang penyertaan bukan sahaja bagi pelajar yang baik pencapaian dalam bahasa Inggeris, tetapi juga pelajar yang sederhana dan yang rendah pencapaiannya.

"Bagi tahun pertama ini, program ini tidak melibatkan pelajar sekolah elit dan sekolah berasrama penuh, tetapi melibatkan sekolah-sekolah lain yang bilangannya merupakan jumlah terbanyak di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan Sekolah-sekolah Terengganu 2010 yang disempurnakan Yang Dipertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Abdul Rahman berkata, perhatian khusus kepada pelajar yang sederhana dan rendah pencapaian amat penting kerana mereka adalah kumpulan yang paling ramai dan peningkatan taraf mereka bererti satu kemajuan yang bermakna dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Katanya, dalam pertandingan program pengukuhan bahasa Inggeris ini, daripada lapan buah sekolah rendah yang berjaya memasuki pertandingan akhir Smart English, empat daripadanya adalah sekolah bandar manakala empat lagi sekolah luar bandar.

"Begitu juga di kalangan lapan buah sekolah menengah yang memasuki pertandingan akhir Speech Choir, empat buah sekolah adalah sekolah bandar, manakala empat lagi dari luar bandar," katanya.

Katanya YDSM berpendapat pencapaian sekolah bandar dan luar bandar cukup bermakna dalam usaha yayasan merapatkan jurang pendidikan bahasa Inggeris.

Beliau berharap pencapaian, minat dan keghairahan yang ditunjukkan para pelajar serta sokongan padu daripada guru-guru akan diterjemahkan menjadi usaha yang bersinambungan dan mantap untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

"Kita akan jadikan pertandingan ini acara tahunan dan berharap ia akan terus mendapat sambutan para pelajar dan sokongan semua guru," katanya.

Pada pertandingan itu bagi kategori Smart English untuk sekolah rendah johan dimenangi Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal, Kuala Terengganu Utara dengan membolot hadiah wang tunai RM210, piala serta sijil.

Tempat kedua dan ketika sekolah Kebangsan Rantau Petronas (Kemaman) dan Sekolah Kebangsaan Gong Kapas (Kuala Terengganu selatan) masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM180 dan RM120 beserta sijil.

Bagi kategori Speech Choir untuk sekolah menengah pula, Sekolah Menengah Agama Durian Guling, Marang muncul juara dengan memenangi hadiah wang tunai RM1,700 beserta piala dan sijil.

Tempat kedua dan ketiga kategori itu dimenangi sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, (Besut) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu Selatan). Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,400 dan RM1,050 serta sijil.

Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

No comments:

Post a Comment