Wednesday, May 26, 2010

Penglibatan Bumiputera Di Sektor Pembuatan hanya di Terengganu, Kelantan

Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan (MPU) yang kali pertama diadakan Selasa antara lain membincangkan kaedah bagi meningkatkan penglibatan usahawan Bumiputera di dalam bidang pembuatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ketika ini penglibatan Bumiputera di dalam sektor itu lebih bertumpu di Terengganu dan Kelantan tetapi dalam skala kecil-kecilan.

"Ia lebih kepada pembuatan keropok dan kerepek. Penglibatan keseluruhan masyarakat Bumiputera di sektor itu bagi perolehan melebihi RM25 juta hanya kira-kira tiga peratus ketika ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam itu di sini.

"Di Sabah dan Sarawak juga, mereka lebih jauh ketinggalan."

Beliau berkata mengikut banci ekonomi 2006, terdapat 6,641 atau 25.2 peratus syarikat Bumiputera dalam sektor ini berbanding keseluruhan sebanyak 26,374 syarikat.

Oleh itu, katanya, pendekatan khusus harus dicari bagi meningkatkan penglibatan masyarakat Bumiputera di dalam sektor itu yang jauh lebih dipelopori oleh masyarakat lain.

Mustapa berkata MPU juga hari ini membincangkan untuk mengemaskini pangkalan data bagi penglibatan Bumipuetra di semua sektor ekonomi.

MPU, platform bagi meningkat lagi penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, adalah kesinambungan mekanisme yang telah dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) sebelum ini.

MeCD yang berperanan membantu Bumiputera telah dibubarkan pada 9 April, 2009.

Mulai tarikh itu, peranan dan tanggungjawab kementerian berkenaan diagihkan kepada lapan kementerian dan agensi.

Oleh itu, Mustapa berkata bagi mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran sumber tenaga dan kewangan, suatu mekanisme penyelarasan dan pemantauan yang berkesan juga amat perlu diwujudkan.

"Mesyuarat ini juga bersetuju pada hari ini mewujudkan satu jawatankuasa peneraju bagi mengelakkan pertindihan tugas," katanya.

No comments:

Post a Comment