Wednesday, May 26, 2010

Gelombang FC B juara Futsal Happy 2010 bolot RM7,000

Pasukan Gelombang FC 'B' menjuarai kategori lelaki terbuka pada Pertandingan Futsal Happy 2010 sekali gus membolot hadiah wang tunai RM7,000 di gelanggang futsal Sports Planet di Gong Badak dekat Kuala Terengganu kelmarin.

Ia merupakan kemenangan berganda Gelombang FC 'B' selepas seminggu menjuarai Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang berlangsung di Kompleks Futsal Putrajaya.

Naib juara disandang pasukan Bertam Ulu dari Melaka dengan merangkul wang tunai RM5,000 dan pasukan ini turut kecundang 0-3 kepada Gelombang FC 'B' pada final Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! tempoh hari.

Tempat ketiga dimenangi DJ Square 'B' yang menerima wang tunai RM3,000 manakala Delima FC menerima RM500 untuk tempat keempat.

Bagi kategori wanita, pasukan She Wolf FC muncul juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000. Diikuti Lady Merc menerima RM1,000 (kedua), Insef FC mendapat RM500 (ketiga) dan Tini FC menerima RM300 (keempat).

Pasukan Phyton FC pula menjuarai kategori bawah 17 tahun dengan memenangi hadiah wang tunai RM1,500 disusuli Mastercaff Jr. menerima RM900 (kedua), TFFC 'A' menerima RM500 (ketiga) dan TFFC 'C' mendapat RM300 (keempat).

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ketua Pemasaran dan Hubungan Korporat Happy, Mohd. Fairose Harun.

Dalam pada itu, Ketua Wilayah Pantai Timur Happy, Jennifer Neal berkata, pertandingan futsal itu diadakan sebagai usaha Happy untuk berinteraksi dengan pelanggan khususnya golongan remaja menerusi aktiviti sihat yang relevan dengan gaya hidup mereka.

Beliau memberitahu, selain berpeluang untuk membina jenama serta mengukuhkan kedudukan di pasaran tempatan, DiGi turut memainkan peranan aktif dalam merealisasikan agenda nasional bagi mewujudkan golongan remaja yang dinamik dan berilmu.

No comments:

Post a Comment