Oleh Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Sharer (Bernama)
Hasil penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama dua organisasi lain tentang penggunaan baja organik keluaran tempatan dikenali sebagai AgroPlus, menunjukkan baja berkenaan mampu meningkatkan hasil keluaran dan kemanisan tanaman timun batu.
Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Dr Sahilah Abdul Mutalib berkata selepas disembur AgroPlus, tanaman itu menghasilkan timun batu gred A dengan berat purata 2.5kg serta memiliki tahap kemanisan lebih 13 pada skala Brix.
Lazimnya, berat tiap timun batu adalah antara 1.3 dan 1.5kg, manakala tahap kemanisannya pula ialah 12 dan ke bawah pada skala Brix, kata Dr Sahilah.
Penilaian terhadap buah berkenaan, yang juga dikenali sebagai tembikai wangi, dibuat setelah dipetik dari 100 pokok di Sutera Nursery, Chendering, Kuala Terengganu - antara projek perintis dalam penyelidikan mengenai penggunaan baja organik yang dijalankan UKM dan dua rakannya, kata beliau.
"Tahap kemanisan timun batu yang menggunakan AgroPlus setanding dengan kandungan gula yang terdapat dalam minuman ringan yang dijual di sini," kata Dr Sahilah dalam rencana beliau yang disiarkan portal berita UKM semalam.
Penyelidikan itu diketuai Dr Sahilah, yang juga felo penyelidik di Institut Kajian Asia Barat (IKRAB), bersama Prof Dr Salmijah Surif dari Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, FST UKM.
UKM bekerjasama dengan DUHC Sdn Bhd dan Universiti Putra Malaysia (UPM), yang diketuai Prof Madya Dr Radziah Othman dari Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, dalam memastikan kejayaan projek berkenaan, khusus bagi membantu syarikat Bumiputera dalam bidang penyelidikan.
Program itu, yang juga mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Terengganu dan Perbadanan Pembangunan Agrotek Terengganu (TADC), dijalankan di tujuh daerah di Terengganu -- Besut, Dungun, Setiu, Kemaman, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu.
Sebanyak 250 peserta menyertainya dengan penumpuan diberi kepada penanaman timun batu dan cili yang menggunakan kaedah fertigasi, kata beliau.
"Peningkatan hasil keluaran timun batu membantu petani meningkatkan pendapatan mereka dan melalui sokongan kuat dalam bidang pemasaran, buah ini berjaya menembusi pasaran Eropah sejak Oktober 2007," katanya.
"Nampaknya pelanggan di Sepanyol, Itali, Perancis, Belanda, Belgium dan Greece sukakan timun batu kita, terutama pada musim sejuk apabila pengeluaran buah-buahan mereka terhenti," katanya sambil menambah bahawa buah berkenan kini boleh didapati di pasar raya Tesco dan Carrefour.
Dr Sahilah berkata penyelidikan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan khidmat masyarakat organisasi terbabit dalam membantu menghasilkan produk organik berdasarkan hasil penemuan saintifik.
DUCH Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera, yang diterajui pengarahnya Mohd Ghazali Sulaiman, menghasilkan AgroPlus secara komersial berdasarkan bahan buangan tebu atau molases yang diadun semula oleh Ghazali Abdullah, bekas pegawai pertanian di Jabatan Pertanian Malaysia bagi memberi nilai tambah kepada baja organik.
Dr Sahilah berkata sepanjang penyelidikan itu, AgroPlus turut diuji dalam penanaman kelapa sawit serta jagung dan hasilnya menunjukan bahawa baja itu membantu merangsang pertumbuhan pokok dan meningkatkan pengeluaran buah.
Kajian tentang penggunaan baja orgnik juga dibuat terhadap tanaman longan, rambutan, durian dan kunyit, kata beliau.
Kajian terbaru memberi fokus terhadap usaha memajukan dan meluaskan penggunaan AgroPlus dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi, katanya.
Pada peringkat ini, kata beliau, hasil penyelidikan UKM dan UPM menunjukkan bahawa baja orgnik AgroPlus selamat untuk digunakan dan telah diuji serta digunakan dalam penanaman padi secara organik di Kampung Ewa, Langkawi serta beberapa kawasan sawah lain di Kedah.
Kajian itu juga mendapati penggunaan AgroPlus mampu meningkat pengeluaran hasil padi sebanyak 50 peratus, kata beliau
No comments:
Post a Comment