Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Terengganu akan mengadakan program latihan jangka pendek (LJP) dalam empat bidang kraf kepada mereka yang berminat bermula 15 Mei ini.
Pengarah PKKM Terengganu Zahir Ahmad berkata empat bidang kraf yang diadakan itu ialah kraf tenunan songket dan kraf tembaga masing-masing dalam jangka masa enam bulan manakala bagi kraf batik terap atau canting dan kraf anyaman bertulang bagi tempoh tiga bulan.
"Tujuan kita mengadakan latihan jangka pendek ini antara lain bagi menyediakan tenaga kerja dalam bidang kraf di samping berharap mereka akan menjadi usahawan satu hari nanti.
"Latihan itu juga diharap dapat membantu usahawan kraf mendapat tenaga kerja mahir terutama anak tempatan dalam bidang berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.
Beliau berkata sepanjang latihan, pelatih akan diberi elaun sebanyak RM450 sebulan dengan bahan dan peralatan latihan disediakan secara percuma.
"Sepanjang mengikuti latihan, kita juga akan membawa pelatih membuat lawatan kerja sambil belajar di tempat-tempat yang akan ditentukan kelak," katanya.
Zahir berkata borang permohonan boleh didapati di pejabat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Terengganu di Kawasan Perindustrian Chendering di sini.
Katanya sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi beliau di talian 09-6171033.
No comments:
Post a Comment