Monday, May 24, 2010

TADC Sedia RM1 Juta Untuk Beli Buah Bermusim Di Terengganu

Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) menyediakan peruntukan RM1 juta untuk membeli buah-buahan bermusim di Terengganu tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rosli Haron berkata peruntukan itu meningkat berbanding RM500,000 tahun lepas dalam usaha pihaknya membeli lebih banyak lagi buah-buahan bagi mengatasi masalah lambakan buah.

Beliau berkata anak syarikat kerajaan negeri itu membeli buah-buahan bermusim di Terengganu sejak dua tahun lepas bagi menstabilkan harga buah, antaranya buah durian, langsat, cempedak, rambutan, duku, tembikai dan nenas.

Katanya tahun ini TADC akan memperluaskan pembelian buah-buahan bermusim itu ke seluruh negeri Terengganu supaya semua petani-petani mendapat manfaat daripada inisiatif TADC itu.

"Tahun lepas, kami cuma beli di beberapa daerah tertentu sahaja," katanya di Kuala Terengganu.

Rosli berkata selain itu TADC juga merancang untuk mewujudkan 25 pusat pembelian di samping melantik 25 orang agen pembeli di seluruh Terengganu tahun ini bagi menambah keberkesanan objektif penubuhannya.

No comments:

Post a Comment