Mungkin ramai yang tidak menyedari atau menghiraukan kewujudan sebuah bangunan satu tingkat yang terletak di satu penjuru di Dataran Shahbandar di sini.
Namun apabila seseorang itu melalui hadapan bangunan tersebut, mereka akan tertarik dengan papan tanda yang tertera di hadapannya iaitu Tandas Eksklusif.
Tandas itu dibina di Dataran Shahbandar yang merupakan salah satu lokasi penganjuran pelbagai majlis di Kuala Terengganu.
Ia yang mula beroperasi sejak 2006 menyediakan perkhidmatan tandas yang setaraf dengan perkhidmatan yang disediakan oleh hotel bertaraf lima bintang.
Tandas eksklusif tersebut mengenakan bayaran 50 sen untuk membuang air manakala RM2 bagi kemudahan mandi.
Bagaimanapun selepas menyediakan perkhidmatan beberapa tahun, tandas bernilai suku juta ringgit itu kini kelihatan buruk dan beberapa pili dan sinki rosak.
Keadaan itu menjadikan tandas lima bintang itu kelihatan seperti tandas-tandas awam lain.
Seorang pengguna tandas itu, Suhaimi Awang, 30, berkata, dia amat terkejut dengan keadaan tandas tersebut selepas menggunakannya buat pertama kali.
‘‘Dari luar bangunan, nampak cantik tetapi apabila masuk ke dalam tandas, saya sangat terkejut.
‘‘Sinki untuk mencuci tangan rosak dengan air mengalir di beberapa pili air selain pili air ditutup dengan beg plastik,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta berkata, keadaan itu tidak menunjukkan ia sebuah tandas eksklusif.
Seorang lagi pengguna, Fatimah Sulong, 40, berkata, dia datang ke Taman Shahbandar untuk bersiar-siar dengan anak-anaknya.
‘‘Biasalah budak-budak bila dah minum banyak, perlu guna tandas dan kerana Tandas Eksklusif ini sahaja yang ada di sini saya pun menggunakannya.
‘‘Namun apabila memasuki tandas, saya agak terkejut kerana keadaan tandas yang kelihatan buruk seperti sudah berusia berpuluh tahun,” katanya.
Surirumah itu berkata, perhiasan dan reka bentuk tandas itu nampak menarik dan mewah namun kelihatan seperti tidak dijaga dengan baik.
Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 28, berkata, sepatutnya pihak bertanggungjawab menjaga dan menguruskan tandas berkenaan dengan baik.
Katanya, tandas tersebut sebelum ini melambangkan perkhidmatan terbaik disediakan di tempat yang menjadi tumpuan umum termasuk pelancong asing.
‘‘Jadi kemudahan awam mewah ini perlu diberikan perhatian supaya tidak menjadi perkara yang memalukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment