PENJAGA gol Johor FC, Mohd Fazly Paat (tengah) menumbuk bola keluar dari kotak penalti dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
Kejayaan Terengganu menundukkan Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam, membolehkan ia menduduki tangga ketiga liga Liga Super.
Dua gol dalam tempoh dua minit sudah cukup untuk memastikan kemenangan dengan Ronny Harun meletakkan tuan rumah pada minit ke-32 disusuli jaringan Md Ashaari Shamsuddin pada minit ke-34.
Bagaimanapun , Selangor semakin kukuh di persada liga apabila menambah tiga mata setelah menewaskan Kuala Lumpur 4-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mengungguli takhta liga dengan 41 mata iaitu kelebihan enam mata dari pesaing terdekat Kelantan yang berada di tangga kedua.
Pada pertemuan dengan Kuala Lumpur, pasukan Selangor mendahului 1-0 pada separuh masa hasil jaringan Liew Kit Kong pada minit kelapan.
Bagaimanapun, Kuala Lumpur bangkit dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-46 oleh Raimi Mohd Nor.
Gol penyamaan itu tidak menggugat rentak persembahan Selangor yang terus memburu jaringan dan asakan mereka membawa hasil apabila Amri Yahya memperoleh gol kedua pada minit ke-65 sebelum dibalas oleh Raimi pada minit berikutnya.
Amri sekali lagi menghasilkan gol keduanya pada minit ke-73 sebelum Safiq Rahim menutup jaringan buat Selangor pada minit ke-90.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang mencatatkan kemenangan keenam dalam saingan liga selepas dengan mudah mengatasi Pulau Pinang 2-0.
Gol Pahang dijaringkan oleh Mohd Shahrizan Mohd Salleh pada minit ke-41 dan Muhamad Fauzi Roslan pada minit ke-65.
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, tuan rumah Perlis dan Kedah seri 1-1.
Perlis mendahului 1-0 pada separuh masa menerusi jaringan Ahmad Fakri Saraani pada minit ke-34 sebelum Kedah menyamakan kedudukan melalui jaringan Mohd Khyril Muhymeen pada minit ke-83.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Shafurin Abu Samah menjadi wira Negeri Sembilan apabila menjaringkan dua gol bagi membantu pasukan juara FA itu menewaskan Johor FC 2-1.
Shafurin menyumbang dua gol itu minit keempat dan ke-21 sebelum Johor FC merapatkan jaringan menerusi Mohd Izaidy Mohd Khadar pada minit ke-62.
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, KL PLus mengejutkan T-Team 1-0.
No comments:
Post a Comment