Wednesday, May 19, 2010

Ngambat Ikan terap perpaduan, produk pelancongan baru


Pesta `Ngambat Ikan' di Sungai Nerus Kampung Langkap, Setiu, meriah –Gambar Zulkifli Putra

Pesta Ngambat Ikan 2010 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Langkap, Setiu membawa erti besar dalam konteks perpaduan penduduk setempat, antara wakil rakyat UMNO dan juga sebagai produk baru pelancongan.

Ternyata idea Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ashaari Idris; membawa cara baru mengumpulkan penduduk kampong untuk ‘berpesta secara perpaduan’ walaupun sehari.

Malah, menurut sebuah laporan dalam www.terengganu.gov.my, pesta `ngambat ikan’ , di Sungai Nerus, Setiu bakal dikomersialkan sebagai produk pelancongan negeri dalam usaha menarik pelancong tempatan dan luar Terengganu mendekati kebudayaan dan tradisi masyarakat kampung di kawasan itu.

Ashaari mengakui satu pelan khusus secara formal akan disusun bagi memastikan program yang dijalankan secara tradisi di Sungai Nerus itu mampu menjadi produk pelancongan negeri.
Ngambat Ikan adalah aktiviti menghalang dan ‘menghambat ikan’ dari pelbagai spesies yang terdapat di sungai tersebut yang kini cetek pada musim kemarau.

Kebiasaannya aktiviti itu memerlukan tenaga melebihi 50 orang dengan acara ‘menghambat ikan’ supaya ikan itu tersangkut pada pukat-pukat yang dipasang di beberapa tempat di sungai berkenaan sejauh hampir dua kilometer.

Pada majlis Sabtu lepas itu dapat dilihat dengan jelas betapa anak-anak dan isteri peserta serta orang ramai begitu gembira dengan acara berkenaan dan sesmetinya merasakan ia perlu diadakan setiap tahun.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, Khazan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali melambangkan pemimpin politik tetap sebati dalam kehidupan masyarakat luar bandar.

Jalinan mesra antara mereka dengan dengan penduduk tempatan tetap dan semakin kukuh dan padu.

Ketiga-tiga ADUN itu bersama dengan penduduk kampung yang terdiri daripada golongan tua serta muda untuk mengejar dan mengepung ikan di Sungai Nerus itu supaya tersangkut pada pukat yang dipasang.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik Asha'ari yang juga ADUN Langkap sebagai berkata, program yang mendapat sambutan agak memuaskan masyarakat setempat itu merupakan satu pengalaman baru bagi pemimpin terlibat.

Menurutnya, mereka bukan sahaja dapat mendekati para penduduk kampung tetapi juga dapat membantu mereka mengambat ikan di sungai itu yang sekali gus memeriahkan program berkenaan yang jarang dilakukan oleh penduduk kampung lain.

''Biarpun ikan seperti kaloi, lampan dan sebarau diperoleh dalam lingkungan 100 kilogram menerusi pesta yang kita anjurkan baru-baru ini, lebih penting program ini telah memberi keseronokan kepada penduduk kampung," ujarnya.

Asha'ari berkata, pihaknya juga melihat kejayaan lain seperti penyertaan golongan belia, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mewujudkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat kampung.

Malah Aktiviti ‘ngambat ikan’ atau menangkap ikan mungkin begitu asing bagi sesetengah penduduk tetapi bagi penduduk Kampung Langkap di sini, ia amat dinantikan terutama pada musim kemarau apabila Sungai Nerus di kampung itu mulai kering.


Aktiviti menangkap ikan secara beramai-ramai di beberapa lokasi tertentu, bagaikan pesta apabila sebahagian besar penduduk turut keluar membawa pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk dan jala dengan harapan memperoleh hasil tangkapan berlipat kali ganda.

Bagi mereka yang tinggal di pesisir sungai, aktiviti terbabit sememangnya memberikan satu keseronokan yang tidak dapat tergambar selain 1,001 kepuasan kepada mereka yang begitu gemar dengan kegiatan riadah itu.

Biarpun pendapatan air tawar seperti ikan kaloi, baung, sebarau dan lampam tidak menjanjikan pulangan yang banyak, mereka tetap berasa puas kerana dapat bermain serta mandi di dalam air yang jernih dan dingin itu.

Pengerusi JKKK Kampung Langkap, Abdul Rahman Mamat memberitahu, pesta ngambat ikan begitu sinonim dengan para penduduk di situ dan ia diadakan setiap tahun sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, ikan yang diperoleh itu bukanlah untuk dijual kepada orang lain sebaliknya ia diagihkan kepada penduduk kampung mengikut jumlah hasil tangkapan.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ikan berkenaan didapati sedikit, ia akan dimasak atau dibakar untuk dimakan orang ramai pada majlis itu.

‘‘Biasanya kita memperolehi antara 100 kilogram hingga 300 kilogram setiap kali pesta ngambat ikan diadakan di kampung ini,” katanya.

Seorang penduduk, Ramli Muhamad, 48, berkata, masyarakat Melayu sebelum ini menggunakan batang buluh dan kulit batang pisang untuk menjalankan aktiviti itu tetapi tradisi itu sudah berakhir.

Timbalan Pengerusi JKKK Kampung Langkap itu berkata, peralatan seumpama itu kurang digunakan sekarang dan sebagai gantinya penduduk kampung menggunakan pukat bagi memudahkan kerja-kerja menangkap ikan.

“Keperluan lain bagi menjayakan pesta ini ialah seorang ketua yang benar arif tentang mengerau ikan perlu dititikberatkan bertujuan melancarkan aktiviti mengerau supaya ikan tidak terlepas.
‘‘Pesta ini boleh dikatakan berjaya dan meriah kerana setiap kali pihak kami menganjurkannya, ia mendapat sambutan dari semua pihak termasuk penduduk kampung sekitar sehingga menyebabkan kami menjadikan acara ini sebagai kegiatan tahunan sejak dari dulu lagi,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk kampung Langkap, Zakaria Pandak, 62, berkata jika dibiarkan orang yang tidak ada pengalaman terlibat dalam aktiviti itu, sudah tentu mereka tidak akan mendapat ikan.

“Bukan setakat ikan, udang pun susah terperangkap dalam perangkap pengerah ikan ,” katanya
Namun yang pasti, katanya, kepuasan mengerau bukanlah sekadar mendapatkan ikan dalam jumlah yang banyak.

“Tetapi yang paling menyeronokkan ialah apabila penduduk kampung terjun ke dalam sungai beramai-ramai untuk mengambat ikan yang tersangkut pada pukat,” katanya.

1 comment:

  1. tuan,,,, tolong iklankan program ngambat ikan ini diblog tuan untuk tahun 2011 dan sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menginap di homestay penduduk dengan bayaran berpatutan.. tk

    ReplyDelete