Tuesday, May 18, 2010

Terengganu Tawar Pulau Untuk Bina Kampus Di Tasik Kenyir

Kerajaan Terengganu menawarkan sebuah pulau di Tasik Kenyir kepada mana-mana universiti tempatan untuk mendirikan kampus, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Katanya kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa buah pulau yang sesuai di antara 340 buah pulau di tasik terbesar buatan manusia itu untuk tujuan itu.

Idea membina kampus universiti itu bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa, unik dan kondusif, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Intelektual Terengganu Negeri Anjung Ilmu di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Said berkata pembinaan kampus di tasik itu merupakan satu pelaburan jangka panjang kerana tasik berkenaan bakal menjadi kawasan bebas cukai tidak lama lagi.

Katanya, sehingga ini kerajaan negeri masih menunggu pengumuman belanjawan negara sebelum projek itu dilaksanakan.

"Sebelum ini kita sudah minta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengisytiharkan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai.

"Saya jangka Perdana Menteri akan buat pengumuman mengenai perkara itu pada bulan Jun atau Julai ini," katanya.

Beliau berkata, dalam masa setahun selepas pengumuman itu, segala kemudahan seperti lot-lot kedai, jeti serta segala kelengkapan pelancongan akan disediakan di tasik itu.

No comments:

Post a Comment