Tuesday, May 18, 2010

Pelabur Arab Saudi Mahu Jalin Hubungan Dua Hala Dengan Malaysia

Pelabur Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berminat untuk menjalin hubungan dua hala dengan rakan mereka dari Malaysia, kata Penasihat Koridor Pembangunan di Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, pelabur UAE dan Arab Saudi telah menunjukkan minat yang kukuh untuk melabur di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Beliau, yang juga bekas Perdana Menteri, berkata ahli perniagaan kedua-dua negara itu merasa sangat selesa untuk melakukan perniagaan di Malaysia dan berharap kemungkinan melabur di dalam ECER.

Secara umumnya, katanya misi Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) ke Timur Tengah merupakan satu usaha pembuka mata di rantau itu bahawa wujud peluang pelaburan yang besar menanti mereka di ECER.

"Lawatan kami di UAE dan Arab Saudi adalah satu lawatan yang berjaya kerana sambutannya adalah baik dan mesra."

"Ternyata sekali, daripada taklimat yang diberikan telah melahirkan keinginan daripada mereka bukan sekadar untuk melancong ke ECER tetapi ada keinginan untuk melabur dan mencari kerjasama dengan pengusaha Malaysia bagi (melaksanakan) projek tertentu," katanya selepas mengakhiri misi pelaburan di Jeddah.

Beliau mengetuai misi pelaburan ECERDC ke Abu Dhabi di UAE serta Riyadh dan Jeddah di Arab Saudi dari 7-17 Mei, susulan kepada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Arab Saudi pada Januari untuk menarik pelaburan dan meningkatkan hubungan perniagaan dua hala dengan negara di Timur Tengah.

Abdullah berkata para pelabur yang yang ditemui berpandangan bahawa ECER akan menjadi wilayah berpotensi dilakukan pelaburan.

"Yang pentingnya, kita perlu membuat susulan kerana itu adalah penting," katanya, sambil menyatakan usaha seterusnya ialah untuk mengenal pasti syarikat Malaysia yang boleh bekerjasama dengan para pelabur dari kedua-dua negara itu.

Industri halal global menawarkan pelbagai peluang bagi para pelabur yang menyasarkan kira-kira 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia dengan pasaran bernilai AS$411 bilion.

Sepanjang misi itu, Abdullah berkata wujud sinergi yang kukuh antara ECERDC dan Perbandanan Pembangunan Industri Halal (HDC) di dalam bidang pembangunan Taman Halal, pengeluaran produk halal dan promosi peluang industri halal.

Bagi sektor pertanian, katanya wujud kemungkinan syarikat Malaysia meneroka kemungkinan membekalkan atau menjalin perkongsian dengan satu pelabur Arab Saudi bagi membekalkan bahan mentah dan perlu direbut segera syarikat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata kehadiran Abdullah telah membantu membuka pintu dan mewujudkan impak bagi kejayaan misi ECERDC di UAE dan Arab Saudi.

Katanya ECER menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal yang khusus untuk para pelabur yang berminat melabur di dalam bidang pelancongan, minyak dan gas, petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan di wilayah itu.

Dua teras insentif yang ditawarkan secara bersama kepada mereka ialah pengecualian cukai pendapatan dan eleaun cukai pelaburan, katanya, sambil menyatakan mereka juga boleh menikmati insentif bukan fiskal, yang termausk premium harga tanah, kefleksibelan pekerja dagang asing, keutamaan bagi utiliti dan pemberian taraf syarikat ECER dan penyediaan geran kepada projek yang berdaya maju.

ECERDC adalah jentera tujuan khas bagi melaksanakan projek dan program utama di dalam Pelan Induk ECER.

Ia turut diberi kuasa untuk melakukan penyelarasan antara entiti kerajaan bagi mempromosikan aktiviti perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pembangunan di wilayah itu -- Kelantan, Terengganu, Pahang dan Daerah Mersing di Johor.

No comments:

Post a Comment