Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan untuk meningkatkan penggunaan per kapita mangga di negara ini dengan menggalakkan rakyat menjadikannya sebagai menu harian menggantikan buah-buahan import.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz berkata usaha untuk meningkatkan penggunaan buah-buahan tempatan adalah penting supaya Malaysia tidak ketinggalan jauh dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Belanda dan Jerman.
"Di Belanda dan Jerman, penggunaan per kapita buah mangga masing-masing adalah sebanyak 150kg dan 120kg sedangkan kita menggunakan mangga sebanyak 50kg per kapita.
"Adalah menjadi hasrat FAMA untuk meningkatkan lagi penggunaan mangga dalam menu harian penduduk Malaysia terutamanya bagi menggantikan buah-buahan import," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Mangga Malaysia 2010 di Giant Hypermarket kelmarin.
Fiesta yang berlangsung selama sembilan hari mulai 21 Mei lepas melibatkan 16 pengusaha mangga yang menjual 16 jenis mangga.
FAMA juga turut menganjurkan fiesta yang sama di beberapa lokasi strategik di seluruh negara termasuk di Pulau Pinang (wilayah Utara), Kuala Terengganu (wilayah Timur), Johor Baharu (wilayah Selatan) dan beberapa pasar tani terpilih," katanya.
Beliau menambah, mangga-mangga tersebut diperoleh dari utara tanah air seperti Perlis dan Pulau Pinang selain dari Melaka.
Bulan lepas, program hantaran percubaan mangga Harumanis sebanyak tiga kali dengan berat 560kg untuk pasaran di Jepun, telah mendapat sambutan hangat walaupun dijual dengan harga RM40 sekilo, kata Mohamed Shariff.
Sementara itu, Pengarah Merchandising, Bahagian Makanan CGH Retail (M) Sdn Bhd, Ian Cruddas berkata syarikatnya komited untuk membantu negara ini meningkatkan tanaman produk pertaniannya.
Beliau berkata Giant akan bekerjasama dengan FAMA dalam menyediakan ruang yang mencukupi di semua cawangannya untuk menjual produk tempatan yang lebih meluas kepada pengguna.
No comments:
Post a Comment