Saturday, May 29, 2010

Sedia 1,000 rumah mampu milik untuk rakyat

Kerajaan Negeri akan membina hampir 1,000 unit rumah teres dan pangsapuri mampu milik di kawasan Bukit Gasing, Seberang Marang bagi memberi peluang kepada rakyat memiliki kediaman sendiri.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku berkata, pembinaan rumah mampu milik secara berperingkat itu sudah dimulakan lebih sebulan lalu.

Menurutnya, fasa pertama pembinaan rumah itu membabitkan 383 unit rumah teres setingkat manakala fasa kedua pembinaan membabitkan 600 unit pangsapuri empat tingkat.

“Kerja bagi projek fasa pertama sudah bermula sejak sebulan lalu dan kami jangkakan projek itu akan mengambil masa dua tahun lebih untuk disiapkan.

“Projek bagi fasa kedua pula akan dimulakan tahun ini. Anggaran awal harga jualan bagi kedua-dua jenis rumah ini adalah RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sehari Bersama Warga Pusat Harian Kanak-Kanak Istimewa (PDK) One Stop Centre, kelmarin.

Hadir sama, isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad iaitu Rosnani Ngah, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Noor Hayati Zaman dan jawatankuasa Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Daerah Marang.

Pelbagai acara menarik dianjurkan sepanjang program tersebut antaranya taklimat kerjaya, senamrobik, sukaneka dan pelbagai lagi khusus meraikan golongan istimewa.

Nik Dir berkata, mereka yang berpendapatan RM1,500 ke bawah layak memohon dan borang permohonan boleh diperoleh di Pejabat Daerah Marang.

“Kami harap pembinaan rumah ini akan membolehkan semua rakyat memiliki rumah sendiri dan dapat memberi manfaat kepada penduduk di daerah ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment