Jabatan Perikanan Terengganu menerima banyak permohonan daripada para usahawan yang berminat untuk mengusahakan projek ternakan ikan air tawar di kawasan projek pembangunan ikan dalam sangkar Sungai Como di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.
Pengarahnya Jabatan Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata semua permohonan bagi mengusahakan projek di atas kawasan industri akuakultur seluas 28,000 hektar yang disediakan kerajaan negeri khusus buat ternakan ikan air tawar itu akan ditimbang sebaiknya.
Jawapan ini bertentangan dengan pendapat sesetengah pihak mengatakan projek itu kini semuanya hanya tinggal nama dan duit rakyat berjumlah RM 50 juta yang dibelanjakan kononnya untuk meningkatkan pendapatan penduduk kampung gagal sama sekali.
Media pembangkang di Terengganu pernah melaporkan kononnya keadaan sebenar di kawasan berkenaan amat memeranjatkan apabila mendapati sangkar ikan yang diberitakan diusahakan oleh 25 orang graduan dan sekumpulan peserta PPRT itu tidak langsung kelihatan.
Malah kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat pada sidang Dewan Undangan Negeri tahun lalu mengatakan projek itu masih berjalan juga disanggah.
Malah pada Jun tahun lalu, satu majlis Promosi Hasil Ternakan Ikan Sungai Como, Tasik Kenyir turut diadakan.
Terengganu Agrotech Development Sdn. Bhd. (TADC) bersama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah mengadakan Majlis Promosi Ikan Sg. Como di Taman Syahbandar pada 16 Jun, dirasmikan oleh Rozi sendiri.
Pelbagai acara menarik diadakan pada pagi tersebut di mana acara yang paling mendapat perhatian ramai adalah pertandingan memasak. 2 orang wakil dari TADC turut menyertai pertandingan ini. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Chef Ismail yang tidak kering idea dengan celoteh spontan.
Gerai TADC mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Tarikan utama gerai TADC semestinya ikan air tawar yang dijual secara hidup dengan harga murah terdiri daripada spesies Tilapia, Patin dan Siakap. Kakitangan TADC juga berpeluang bergambar dengan Chef Ismail.
Pembangkang mendakwa Sungai Como di Tasik Kenyir merupakan kawasan yang tidak sesuai untuk dijadikan kawasan penternakan ikan dalam sangkar. Ikan mudah menjadi ‘stress’ kerana air dikawasan berkenaan mempunyai arus di bawahnya agak panas akibat kurang tumbuhan dalam air dan keadaan air yang terlalu jernih.
Beberapa tahun sebelum ini, keseluruhan projek ternakan ikan dalam sangkar yang diusahakan oleh sekumpulan peneroka dari Felcra Bukit Kepah, juga menemui kegagalan yang serupa.
Justeru penduduk kampung berhampiran merasa pelik dengan cadangan Rozi Mamat yang sekali lagi memilih tempat yang sama untuk satu projek yang menelan belanja puluhan juta ringgit, sedangkan ianya pasti menemui kegagalan dan tidak membawa pulangan yang diharapkan.
Penduduk setempat juga mengesyakki kemungkinan peruntukkan wang rakyat sebanyak RM 50 juta itu telah diselewengkan.
Rozi yang juga ADUN Telemung, mestilah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan tersebut, dan wajar membuat penjelasan dengan menyertakan butiran lengkap perbelanjaan yang digunakan untuk pengetahuan rakyat, kata mereka.
Kenyataan itu bertentangan dengan apa yang disebut oleh Jabatan Perikanan Terengganu apabila mengatakan: "Permohonan daripada syarikat atau usahawan memang banyak diterima, tetapi kami kena tapis dahulu, lihat dari segi kewangan dan sebagainya sebelum beri peluang kepada mereka memasuki kawasan projek itu," katanya.
Beliau berkata syarikat atau usahawan yang terpilih nanti hanya perlu menyediakan benih ikan dan lain-lain kemudahan, sementara sangkar disediakan oleh kerajaan.
Menurutnya sehingga ini empat syarikat sudah diberikan kebenaran untuk menjalankan ternakan ikan di kawasan itu, yang membabitkan 800 sangkar dan pengeluaran kira-kira 100 tan metrik hasil setiap tahun.
No comments:
Post a Comment