Friday, May 7, 2010

Terengganu hantar 350 pelajar perubatan ke Mesir, Russia


Sebahagian daripada para pelajar gembira menunjukkan surat tawaran kewangan pada majlis Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu Ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu akan menghantar lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara bagi menambah bilangan doktor.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata tahun ini Terengganu akan menghantar seramai 360 orang pelajar ke Russia dan Mesir untuk tujuan itu.

''Ketika ini, kita sedang memilih mereka yang layak selepas 360 pemohon didapati lulus proses kelayakan," katanya.
Ahmad Said berharap bakal lulusan perubatan itu kelak berkhidmat di tempat sendiri berikutan negara kekurangan doktor.

Bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu, beliau juga menyatakan Terengganu menyediakan RM18 juta untuk bantuan persediaan 23,000 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tahun ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan persediaan Yayasan Terengganu kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA)/IPTS) bagi sesi 2010/2011 kepada 1,960 orang pelajar matrikulasi dengan masing-masing menerima RM500.

Selain itu, negeri tidak akan menetapkan sebarang syarat kepada pelajar perubatan tajaannya di luar negara dalam usaha memastikan mereka kembali berkhidmat di negara ini.

Ahmad Said menyifatkan, langkah mengenakan pelbagai syarat itu dilihat tidak tepat.

''Perkara ini timbul sekarang kerana ketika ini kita masih kekurangan doktor namun ia dijangka dapat diselesaikan selepas kita berjaya melahirkan lebih ramai doktor pada masa depan.

''Sepatutnya kita berbangga apabila pelajar kita diiktiraf oleh negara asing dan diambil bekerja di sana kerana ia menunjukkan pelajar perubatan kita berkualiti," katanya.

Mengulas laporan graduan perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bekerja di negara asing kerana ditawarkan gaji lebih lumayan, beliau berkata isu yang sama berlaku sebelum ini apabila ramai doktor lebih gemar berkhidmat di hospital swasta berbanding kerajaan.

''Apa yang kita harapkan graduan perubatan ini mempunyai semangat patriotisme dan ingin berbakti kepada masyarakat untuk kembali berkhidmat di negara ini," tambahnya.

No comments:

Post a Comment