Wednesday, May 19, 2010

Ternakan Udang: Penentu Jangka Untung RM150,000 Tahun Ini

Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu) menjangka akan memperolehi keuntungan bersihbanyak RM150,000 dari projek ternakan udangnya di Kampung Fikri, Setiu tahun ini.

Pengurus Besar Penentu Rosli Mustapa berkata persatuan menyasarkan pengeluaran 100 metrik tan udang bernilai RM1 juta tahun ini.

"Ini tahun kedua kita menternak udang, tahun pertama kita dapat untung RM140,000," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata Penentu menternak udang dua kali setahun dan untuk pusingan pertama ia berjaya menghasilkan sebanyak 40 metrik tan bernilai lebih RM40,000.

Rosli berkata Penentu mempunyai 15 buah kolam yang digunakan untuk menternak udang, manakala 15 buah lagi kolam milik Penentu disewakan kepada syarikat udang dari Perak.

Secara tidak langsung, katanya projek itu memberi peluang pekerjaan kepada kelurga nelayan.

Katanya Penentu tidak menghadapi masalah dari segi pemasaran, tetapi cuma harga agak murah.

Rosli berkata harga udang di peringkat ladang RM10 sekilo bagi udang saiz M atau kira-kira 70 ekor sekilogram, berbanding RM12 sekilo saiz yang sama pada tahun lepas.

"Ia bergantung kepada keadaan, kalau udang banyak harga pun turun, tetapi kalau udang kurang, harganya meningkat," katanya.

Katanya Penentu memperolehi bekalan anak udang dari Selangor, Pulau Pinang dan Dungun dengan kadar harga antara 1.2 sen seekor bagi saiz 0.5cm.

Sementara itu, Rosli berkata Penentu juga memperolehi sumber pendapatan dari kerja-kerja membina tukun ikan untuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Beliau berkata Penentu membina 12,000 biji unjam bernilai RM1.2 juta untuk dilabuhkan di sepanjang pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut mulai tahun lepas hingga tahun ini.

No comments:

Post a Comment