Wednesday, May 19, 2010

Kosteb pelbagaikan cabang perniagaan

Konsortium Koperasi Sekolah Terengganu Berhad (Kosteb) akan mempelbagaikan cabang perniagaannya untuk memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 ahlinya di seluruh negeri.

Pengerusinya, Abdullah Mamat berkata, pada masa ini konsortium itu banyak memberi tumpuan kepada perniagaan membekalkan peralatan sekolah sejak ia ditubuhkan pada November 2000.

Menurut beliau, operasi perniagaan yang terhad itu menyebabkan konsortium tidak mampu meraih keuntungan yang lebih besar dan minat koperasi sekolah untuk bergabung dengan konsortium kurang memuaskan.

Katanya, pada masa ini hanya 80 daripada 135 koperasi sekolah di seluruh negeri bergabung di bawah Kosteb.

''Sehubungan itu Kosteb mulai tahun ini akan mempelbagaikan operasi perniagaan termasuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai agensi dan syarikat untuk meningkatkan kecemerlangan kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Kosteb dengan Intellect Management Consultants (IMC), syarikat pemasaran produk E-Learning Score A di sini hari ini.

Kosteb diwakili oleh Abdullah manakala IMC diwakili oleh V. Govendarajoo sambil disaksikan oleh Pengurus Kanan Bahagian Penyelidikan Pemasaran Kenshido International Sdn. Bhd. yang merupakan pembekal program Score A, Rameyzee Zainuddin.

Melalui MoU itu Kosteb dilantik sebagai agen untuk program Score A di negeri ini.

Pada masa ini kira-kira 687,000 pelajar di seluruh negara telah menggunakan kemudahan pembelajaran secara dalam talian itu sejak ia diperkenalkan pada 2002.

Program Score A merupakan kaedah pembelajaran secara dalam talian terutama kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

No comments:

Post a Comment