Sunday, May 16, 2010
YPU Sasar Buka 100 T'shop Menjelang 2013
Menteri Besar pada perasmian kedai runcit T-Shoppe pertama di Kuala Terengganu.
Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan mewujudkan sehingga 100 kedai runcit yang dikenali T'Shop, di seluruh negara menjelang 2013.
Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata tahun ini sahaja pihaknya akan membuka antara 10 dan 20 T'shop di Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Pahang.
"Kita juga sedang menimbang untuk memperluas rangkaian kedai T'Shop ini sehingga ke Sabah dan Sarawak," katanya.
Azmi berkata setakat ini Terengganu sudah mempunyai lapan kedai T'Shop manakala dua lagi di Kuala Lumpur dan Melaka.
Beliau berkata T'Shop yang memerlukan modal antara RM100,000 dan RM150,000 sebuah, menjual produk keluaran negeri Terengganu, termasuk makanan seperti keropok dan barangan kraftangan.
Azmi berkata sambutan orang ramai terhadap kedai-kedai tersebut sangat menggalakkan, dengan hasil jualannya antara RM1,000 dan RM4,000 sehari.
Dalam perkembagan lain, YPU akan mewujudkan sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (3P), bernilai RM500,000 bagi memproses produk Industri Kecil Sederhana (IKS) di Ajil, Kuala Berang.
Beliau berkata pusat tersebut dijadualkan siap dan mula beroperasi dalam tempoh terdekat ini, dan ia akan dikembangkan ke setiap daerah pada masa akan datang.
Sementara itu, YPU akan membuka sebuah T'Kafe masing-masing di Kemaman, Marang mulai 1 Jun dan Kuala Lumpur (berhampiran PWTC) pada 1 Julai.
Beliau berkata pelbagai jenis makanan tradisional dan popular Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor, akan dijual di situ.
No comments:
Post a Comment