Jemputan Malam Pewarta 2010 yang diadakan di kediaman Menteri Besar, di Sri Iman pada 6 Jun ini berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi balik dari Kuala Terengganu-Jogjakarta dan Kuala Terengganu-Singapura.
Timbalan Presiden Persatuan Wartawan Terengganu (Pewarta), Mohamed Jusoh berkata, tiket-tiket itu terdiri daripada dua tiket sumbangan Penerbangan Malaysia (MAS) dan enam tiket yang disumbangkan Firefly.
Katanya, dua tiket sumbangan MAS itu membolehkan pemenang menaiki penerbangan pergi balik Kuala Terengganu- Jogjakarta manakala tiket sumbangan Firefly untuk penerbangan Kuala Terengganu ke Singapura dan Subang.
"Selain tiket penerbangan, hadirin berpeluang memenangi hadiah lain yang turut disumbangkan oleh gedung beli-belah Mydin, Giant, Sabasun dan Nor Arfa Batik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, pada Malam Pewarta 2010, majlis anugerah Tokoh Wartawan dan Masyarakat akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Menurutnya, kira-kira 500 orang dari kalangan wartawan dan bekas wartawan dijangka akan hadir bagi memeriahkan Malam Pewarta 2010 itu.
"Kita jemput semua wartawan yang pernah berkhidmat di Terengganu, tidak kira di mana mereka berada, sama ada mereka masih bertugas atau dah bersara, kita jemput semua," katanya.
Sempena program itu, juga, kata Mohamed, Kursus Asas Kewartawanan dan Kewartawanan Lanjutan akan diadakan pada 5, 6, 7 dan 8 Jun ini bertempat di Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) di Pulau Kerengga, Marang.
Katanya, kursus anjuran bersama Perkaya dengan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) itu akan disertai seramai 80 anak yatim dari seluruh negara dan mereka turut diberi peluang mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang Utusan Melayu (M) Bhd. di Gong Badak di Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment