Dua anggota polis cedera selepas dibelasah sekumpulan lelaki ketika cuba meleraikan pergaduhan di Pantai Kemasek, Kemaman, membabitkan seorang lelaki yang tidak berpuas hati selepas bekas isterinya berkahwin semula, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Air Jernih itu sedang melakukan rondaan, sebelum ternampak kekecohan berlaku dan segera ke ke tempat kejadian.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata sebelum kejadian itu, anggota polis terbabit yang hanya berpakaian biasa memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan cuba meleraikan kekecohan.
"Bagaimanapun, usaha anggota polis berkenaan tidak diendahkan, sebaliknya terus dibelasah sekumpulan lelaki terbabit dengan kayu sehingga cedera di lutut serta tangan, sebelum semua mereka melarikan diri.
"Selepas kejadian itu, pasangan suami isteri terbabit dan anggota polis itu membuat laporan di Balai Polis Air Jernih dan mendapati kumpulan lelaki itu diketuai bekas suaminya yang tidak berpuas hati kerana isterinya berkahwin lain," katanya.
Manoharan berkata, ketika kejadian, wanita berumur 30 tahun bersama suami barunya berusia 49 tahun sedang berehat di pantai itu sebelum diserang bekas suaminya bersama sekumpulan lelaki mengakibatkan mangsa cedera di dada dan bahu.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148, 324 dan 332 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata maut dalam rusuhan, dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya dan dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas," katanya
No comments:
Post a Comment