Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan khusus bagi mengatasi masalah yang dialami pasangan dan menyelamatkan perkahwinana mereka melalui penyediaan kaunselor dan pakej ‘2nd Honeymoon’.
Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk program itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM53,600 telah dibelanjakan bagi empat program yang diadakan sebelum ini melibatkan 67 pasangan.
"Kita ingin menyelamatkan pasangan daripada perceraian. Kebanyakan yang terpilih ialah pasangan yang difikirkan ada masalah. Mungkin kalau tidak dirapatkan kembali akan berlaku perceraian dan sebagainya.
"Kita lihat ada pasangan yang kembali mesra setelah menyertai program ini. Kalau kita dapat menyelamatkan satu dua pasangan daripada bercerai, ini merupakan satu kejayaan," katanya.
Ahmad Said menjelaskan, pasangan yang terpilih terdiri daripada pasangan yang menemui kaunselor.
Setakat ini, 67 pasangan terpilih dihantar ke Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.
Menyedari penting dan bergunanya program ini, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu bagi memperluaskan program bulan madu kali kedua atau "Second Honeymoon" kepada pasangan yang menghadapi masalah rumahtangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Selasa lalu berkata lapan siri program itu akan diadakan sepanjang tahun ini.
"Lapan program lagi akan diadakan tahun hadapan dengan setiap program membabitkan 15 pasangan suami isteri terutamanya yang telah berkahwin lima tahun.
"Mengikut kajian cabaran paling besar dihadapi pasangan berkahwin ialah dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman bagi program "Smartstart: 2ND Honeymoon" antara YPK dan LPPKN di Kuala Terengganu 15 Jun lalu.
Pada perjanjian itu, LPPKN dan YPK akan bekerjasama melaksanakan program "Smartstart: 2nd Honeymoon" di mana LPPKN akan menyediakan keperluan seperti kaunselor untuk sesi kaunseling manakala YPK sendiri akan menentukan tempat program itu akan diadakan.
YPK diwakili Pengarahnya Mohd Shafarudin Mustafa manakala LPPKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Aminah Abdul Rahman, dengan disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, dan Shahrizat.
Shahrizat berkata, walaupun kadar perceraian di negara ini masih rendah daripada segi bilangannya, namun ia makin bertambah di mana sebanyak 19,463 perceraian berlaku pada 2006 dan bertambah kepada 25,426 pada 2008.
"Perhatian serius perlu diberi untuk menangani masalah ini. Saya sangat menghargai inisiatif kerajaan negeri Terengganu khususnya YPK mengadakan program bulan madu kali kedua untuk membantu keutuhan perkahwinan," katanya.
Program ini mula diumumkan pada pertengahan Oktober 2009 apabila Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Ashaari Idris, mengumumkan pakej bulan madu kedua secara percuma menanti pasangan yang telah berkahwin di Terengganu.
Namun ia hanya ditawarkan kepada pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah penceraian sahaja.
Kerajaan negeri akan menanggung semua kos bagi program berkenaan.
Bagaimanapun, pakej bulan madu itu termasuk sesi kaunseling yang akan dijalankan dalam program berkenaan.
Katanya, program tersebut diwujudkan bagi membantu pasangan yang mempunyai masalah mencari jalan penyelesaian dalam rumah tangga mereka dan mengurangkan kadar penceraian yang dicatatkan oleh negeri itu.
"Pakej bulan madu tersebut akan dilancarkan pada akhir tahun sebaik sahaja modul-modul khusus mengenainya diwujudkan. Program ini diwujudkan bagi membantu pasangan suami isteri yang ingin bercerai berbaik semula dan mengekalkan perkahwinan masing-masing," kata di Kuala Terengganu semalam.
Kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis di mana 25 pasangan akan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan akan dipilih untuk menyertai pakej bulan madu berkenaan.
“Bagi program ini kita menawarkan pakej tiga hari dua malam di mana-mana tempat dengan kos di bawah RM1,500 untuk setiap pasangan.
"Setakat ini hasilnya adalah positif," katanya tanpa memberikan butiran mengenai jumlah perkahwinan yang berjaya diselamatkan pada ketika itu.
"Bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah, khidmat kaunseling akan diberikan. Namun pakej bulan madu kedua ini hanya ditawarkan kepada pasangan yang betul-betul berhadapan dengan masalah dalam perkahwinan dan mereka yang diambang perceraian," kata Ashaari.
Ada pasangan yang mempunyai masalah namun perkahwinan mereka dapat kekal sehingga dua puluh, katanya.
"Kami faham jika pasangan yang baru berkahwin mempunyai masalah untuk saling memahami antara satu sama lain. Tapi adalah satu yang pelik bagi pasangan yang telah berkahwin selama dua puluh tahun mahu bercerai, ini satu alasan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima.
"Dengan pakej ini, kita berharap pasangan yang mempunyai masalah ini akan lebih menghargai perkahwinan mereka sekaligus dapat mengelakkan daripada berlakunya perceraian," katanya.
Tuesday, June 22, 2010
‘2nd Honeymoon’ bantu pasangan bermasalah di Terengganu
"Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu bagi memperluaskan program bulan madu kali kedua atau "Second Honeymoon" kepada pasangan yang menghadapi masalah rumahtangga"
No comments:
Post a Comment