Wednesday, June 23, 2010

Program Kerjaya Ecer Bantu 1,500 Dapatkan Pekerjaan

Program pembangunan modal insan, KerJaya ECER, yang diperkenalkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun lalu berjaya membantu 1,500 peserta mendapatkan pekerjaan.

Satu kenyataan oleh ECER di Kuala Lumpur, semalam berkata program yang menarik 5,126 peserta dan 353 syarikat dari seluruh wilayah ECER itu sehingga kini, telah berjaya meningkatkan kemahiran graduan dan pencari kerja serta mendapatkan pekerjaan untuk mereka di syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.

Pada masa ini, sebanyak 111 syarikat telah didaftarkan bagi Program KerJaya ECER yang terbahagi kepada tiga komponen iaitu Program Peluang Penempatan Graduan (GPO), Program Penempatan Pekerja (EPP) dan Program Latihan Kemahiran (STP).

Program itu dilancarkan di Pahang, Terengganu dan Kelantan masing-masing pada Disember 2009, Januari 2010 dan Mac 2010.

Pengurus Sumber Manusia PASDEC Holdings, Khatijah Majid, berkata program itu telah membantu syarikat yang berpangkalan di Pahang itu mengambil pekerja yang sesuai manakala Pengurus Besar Rohm Wako Electronics di Kelantan, Lee San Ming, berkata bantuan kewangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh ECERDC telah membantu syarikat itu mengurangkan kos mengambil dan melatih pekerja baharu.

Kejayaan Program KerJaya ECER juga diperakui oleh graduan baharu dan pencari kerja.

Menurut Lee Gee Ming, seorang graduan kejuruteraan dari Universiti Pahang Malaysia, beliau ditawarkan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakannya dan menerima gaji bulanan dua kali ganda berbanding pekerjaan terdahulu, dalam tempoh tidak sampai setengah bulan selepas mendaftar dengan Program KerJaya ECER.

Graduan baharu, Nor Zahraa Zahari, yang kini bekerja sebagai jurutera awam dan binaan di syarikat perunding kejuruteraan berkata beliau amat gembira dengan jawatan yang diperolehnya selepas hanya sebulan mendaftar dengan ECERDC.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata Program KerJaya ECER adalah inisiatif yang signifikan bagi ECER kerana ia membantu tenaga kerja di wilayah itu menjadi lebih kompetitif dan berpeluang tinggi diambil bekerja dalam dunia pekerjaan yang pantas berubah-ubah hari ini.

Program itu adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi RM7 bilion yang diumumkan oleh kerajaan pada November 2008. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, ECER diperuntukkan sejumlah RM40 juta bagi latihan kemahiran.

No comments:

Post a Comment