Thursday, June 17, 2010

70 Peratus Pengusaha Rumah Burung Walit Di Terengganu Berakhir Kegagalan

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mendapati lebih 70 peratus pengusaha rumah burung walit di negeri ini berakhir dengan kegagalan.

Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata di Terengganu terdapat kira-kira 300 buah rumah burung walit yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

"Rumah burung walit yang gagal kebanyakannya disebabkan kelemahan dari segi pengurusan," katanya selepas melawat salah satu projek rumah walit yang gagal di Kampung Mengabang Telipot, Batu Rakit semalam.


Katanya kos paling rendah untuk membina rumah burung walit ialah RM100,000 dan kebanyakannya dimiliki orang perseorangan.

Kos bangunan setinggi empat tingkat yang dilawati hari ini menelan belanja lebih kurang RM500,000, yang dibina kira-kira tiga tahun lalu.

Dr Azizol berkata projek itu dikira gagal kerana burung tidak masuk sejak ia dibina hingga kini memandangkan bangunan itu tidak mempunyai kemudahan sebagai rumah burung walit seperti perakam suara burung dan elektrik.

Beliau berkata ia amat merugikan kerana industri burung walit terbukti mampu memberi pulangan lumayan jika dilaksanakan dengan betul.

"Dalam erti kata yang lain, kerajaan mahu seramai mungkin melibatkan diri dalam industri bernilai tinggi itu," katanya.

Bagaimana pun, katanya JPV akan melihat perkara itu dan akan cuba mengatasinya supaya industri burung walit terus berkembang di Terengganu.

No comments:

Post a Comment