Thursday, June 17, 2010

PPDNKP perlu pantau lebih kerap

Bahagian Penguat Kuasa, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKP) perlu membuat pemantauan lebih kerap bagi menghalang peniaga mengenakan harga sesuka hati sehingga membebankan pengguna.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, pada masa sama, pihak berkenaan perlu mengambil langkah serupa agar bekalan gula di premis-premis jualan di negeri ini mencukupi demi memenuhi keperluan orang ramai.

Beliau turut kesal dengan sikap sesetengah peniaga yang dilaporkan mengambil kesempatan menyorok bekalan gula sehingga menimbulkan kesulitan di kalangan pengguna.

"Mereka (peniaga) tidak sepatutnya ambil sikap sedemikian (kenakan harga sesuka hati dan sorok bekalan gula) kerana ia menimbulkan masalah kepada pengguna, akhirnya pengguna yang jadi mangsa.

"Jadi, saya harap bahagian penguatkuasaan PPDNKK lebih kerap turun memantau harga barangan yang ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan harga barangan serta masalah bekalan gula di negeri ini berikutan kenaikan harga barangan tertentu di beberapa negeri lain ketika ini.

Ahmad turut menasihatkan para pengguna supaya tidak membuat pembelian panik sehingga menyebabkan bekalan gula di negeri ini sering tidak mencukupi dan kehabisan.

"Kadang-kadang orang kita ini panik, masing-masing pergi beli untuk buat stok dan sebagainya sedangkan penggunaan tak seberapa pun.

"Kita nasihatkan para pengguna agar jangan buat pembelian panik dan kalau ada gula, kita harap kurangkan penggunaannya. Jikalau ada masalah dari segi bekalan seperti peniaga ambil kesempatan, laporkan kepada pihak penguatkuasa (PDNKK)," ujarnya.

No comments:

Post a Comment