Monday, June 28, 2010

Balai Polis Baru Lebih Mesra Rakyat

Balai polis baru yang sedang dibina akan lebih mesra rakyat untuk anggota pasukan itu memberikan khidmat yang baik kepada orang ramai, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Katanya PDRM akan mempunyai 130,000 pegawai menjelang 2013 dan tiga buah lagi institut latihan polis akan dibina di Langkawi, Dungun, Terengganu dan Bentong, Pahang selain di Kuala Lumpur, Muar, Johor, Kuching, Sarawak, Air Hitam, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah bagi memastikan kualiti diberikan keutamaan daripada kuantiti.

Reka bentuk yang diperbaiki akan juga meningkatkan imej pasukan polis dan membantu memberikan keyakinan di kalangan orang ramai kepada pasukan itu.

Beliau menyatakannya pada majlis makan malam tahunan ke-26 Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (Respa) di Klang malam semalam.

Selain menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil masuk anggota yang berpendidikan dan berkemahiran untuk berkhidmat dalam pasukan itu bagi mengendalikan generasi baru jenayah, yang lebih bergerak dan sering mengambil kesempatan daripada Internet untuk melakukan jenayahnya dan menimbulkan masalah di serata dunia.

Beliau berkata pembangunan modal insan merupakan satu keutamaan dalam PDRM bagi membolehkan pegawainya berkhidmat dengan berdisiplin, dedikasi dan bersemangat untuk menghadapi cabaran baru.

Ismail berkata beliau gembira menyatakan bahawa anggota PDRM, bersama-sama RELA dan Jabatan Pertahanan Awam telah mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti sasaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan lanskap dan cabaran yang meningkat juga memungkinkan satu pendekatan dasar kepolisian baru diperoleh khasnya dalam mengendalikan jenayah senyap-senyap tetapi membahayakan.

Beliau juga menyeru anggota Respa dengan pengalaman mereka untuk bekerja rapat dengan pegawai PDRM yang sedang berkhidmat untuk bersama-sama membantu menangani jenayah di negara ini.

Respa, pada mesyaurat agung tahunan ke-26, telah menerima satu resolusi untuk mengemukakan cadangan kepada PDRM bagi mengendalikan pencegahan jenayah dan perkara lain.

No comments:

Post a Comment