Sunday, June 13, 2010

Bolasepak - Terengganu ke suku akhir, Melaka gagal

Juara bertahan, Terengganu melangkah dengan bergaya ke suku akhir selepas menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan C acara bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) XIII di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota semalam.

Kejayaan itu membolehkan Terengganu muncul juara Kumpulan C mengutip enam mata penuh hasil dua kemenangan yang sebelum ini menewaskan Kelantan 4-0 dalam perlawanan pertama.

Wan Mohamad Alif Jasmi membuka tirai jaringan pertama penyandang juara itu apabila meledakkan jaringan pada minit ke-21 dan Shamsul Kamal Mohamad mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua pada minit ke-85.
Turut mengiringi Terengganu ke suku akhir ialah Kelantan yang tidak beraksi tetapi berbekalkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pertama sudah cukup menjamin tempat itu.

Dalam saingan Kumpulan A pula, jaringan hatrik Mohd. Badrul Hisham Azmi membantu Wilayah Persekutuan muncul juara kumpulan untuk mara ke suku akhir selepas membelasah Perlis 6-di Stadium Hang Tuah.

Jaringan hatrik Mohd. Badrul Hisham (m-49, 60, 86) serta Azri Alwan Nordin (m-3), Mohd. Afiq Azmi (m-24) dan Mohd. Farid Ramli (m-88) manakala gol tunggal Perlis menerusi Zul Akmal Hakim Zainol (m-68).

Kedah yang mencatat keputusan seri 3-3 ketika berdepan Perak dalam perlawanan lain Kumpulan A di Stadium Tun Fatimah turut melangkah ke suku akhir apabila muncul naib juara kumpulan itu.

Negeri Sembilan turut melayakkan diri ke suku akhir dalam Kumpulan B selepas menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawanan sebelah pagi di Sekolah Menengah Seri Kota.

Kemenangan itu membolehkan Negeri Sembilan muncul juara kumpulan mengutip empat mata termasuk ketika seri 1-1 bertemu Johor dalam perlawanan pertama.

Gol-gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Norfaizzal Faroq Zaharuddin (m-30), Mohd. Firdaus Azizul (m-43), Qhairul Anwar Roslaini (m-480 dan Fadzly Iskandar Adnan (m-60) manakala gol tunggal pahang dijaringkan oleh Muhammad Muzawir Mohtar (m-65).

Pahang yang tewas bagaimanapun turut layak ke suku akhir selepas muncul naib juara berbekalkan kemenangan 3-2 ke atas Johor sebelum ini.

Sementara itu, dalam perlawanan penentuan Kumpulan D pula hajat tuan rumah Melaka untuk ke suku akhir berkubur selepas seri 1-1 dengan Selangor di Stadium Hang Tuah.

Mengiringi Selangor yang muncul juara kumpulan itu ialah Sabah yang menewaskan Sarawak 3-2 dalam perlawanan yang serentak diadakan di Stadium UTeM.

No comments:

Post a Comment