Sunday, June 13, 2010

Kasih utuh 54 tahun bersama

Ngah menyikat rambut isterinya yang uzur di rumah mereka.

Daripada Berita Harian

Walaupun sudah 54 tahun menjalani hidup bersama, kasih sayang seorang datuk, Ngah Mohamad, 83, terhadap isterinya tidak pernah pudar biarpun isterinya kini hanya terlantar sakit.

Pengorbanan Ngah menjaga sendiri isterinya Long Musa, 73, yang diserang angin ahmar sejak tujuh tahun lalu dalam keadaan kesempitan hidup dan serba kekurangan, patut dicontohi pasangan muda masa kini.


“Sepanjang hidup bersama sejak 54 tahun lalu, kami tidak pernah berpisah dan melalui pahit manis hidup berumah tangga bersama sehingga kini. Sejak isteri diserang angin ahmar, saya yang menjaganya termasuk memandikan serta menyalinkan lampin serta menyuapkan makanan kepadanya.

“Selagi saya masih boleh menggerakkan tangan dan kaki, selagi itu saya akan menguruskannya sendiri. Saya tidak mahu isteri dibawa anak-anak ke rumah mereka kerana janji yang saya berikan kepada isteri ketika zaman percintaan dulu perlu ditunaikan, walau dengan apa cara sekalipun.

“Malah, apabila mengenang kembali pengorbanan isteri ketika menjaga makan dan minum saya ketika bekerja sebagai nelayan membuatkan hati semakin berat berpisah dengannya walaupun sesaat. Apapun terjadi, saya tetap akan menjaganya selagi terdaya biarpun dia tidak mampu lagi berbakti kepada saya,” katanya.

Ngah yang tinggal di rumah usang di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir bersama isterinya itu berkata, hasil perkongsian hidup bersama, mereka dianugerahkan sembilan anak iaitu lima lelaki dan empat perempuan dan semua anaknya bersedia membawa ibu mereka tinggal bersama dan menjaganya, tetapi tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, dalam kerelaan Ngah menjaga sendiri isteri yang uzur, dia berdepan masalah kewangan kerana hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan, sedangkan perbelanjaan diperlukan termasuk kos lampin pakai buang serta susu mencecah RM500 sebulan.

“Apa tidaknya, dengan wang saraan JKM kepada saya itu, tidak cukup untuk membiayai kos perubatan dan makan pakai kami berdua. Syukurlah kerana kadang-kadang anak membantu, tetapi semua anak lelaki juga dihimpit kemiskinan kerana hanya bekerja sebagai nelayan.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa mencatu wang bagi keperluannya serta makan minum kami. Kasihan melihat isteri terpaksa minum air teh menyebabkan dia sembelit berikutan tidak mampu membeli susu berharga RM59 yang disarankan doktor. Lebih sedih, sepatutnya dia menukar lampin pakai buang setiap dua kali sehari, tetapi kini terpaksa menukar sekali sehari bagi menjimatkan wang,” katanya.

Ngah berkata, sering kali dia terfikir untuk ke laut menambah pendapatan, namun apakan daya dia kini semakin uzur.

No comments:

Post a Comment