Tuesday, June 29, 2010

E-Book tetap digunakan biarpun UPSR, PMR mansuh

Penggunaam E-Book tetap penting kepada pelajar Terengganu

Penggunaan e-book tetap releven bagi murid di negeri ini biarpun terdapat kemungkinan Kementerian Pelajaran akan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah(PMR) pada masa hadapan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, walaupun kemungkinan dua peperiksaan tersebut bakal dimansuhkan, tetapi buku teks masih tetap digunakan sebagai rujukan utama dalam pembelajaran dan secara tidak langsung menunjukkan penggunaan e-Book masih releven untuk digunakan.

Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM75 juta untuk mengagihkan 75,000 unit buku elektronik itu bagi tempoh dua tahun bermula tahun lepas.

Tahun lepas sebanyak 25,000 unit diagihkan, manakala tahun ini 50,000 unit lagi akan diberi kepada murid Tahun Empat dan Tahun Lima di seluruh negeri.

Katanya, pemansuhan UPSR dan PMR sebagaimana cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya masih di peringkat cadangan dan sebelum keputusan dibuat pastinya kajian secara terperinci serta komprehensif dilaksanakan selain mengambil kira pandangan menyeluruh daripada semua pihak.

Berikutan itu Kerajaan Terengganu tidak akan menghentikan pengagihan e-Book sekalipun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah dimansuhkan.

Ahmad Said berkata ini kerana penggunaan e-Book pada kalangan murid Tahun Empat dan Tahun Lima adalah bagi menggantikan buku teks dan tidak berfokus kepada peperiksaan itu semata-mata.

"Sekalipun berlaku perubahan dalam sistem pelajaran yang akan dibuat kerajaan, e-Book tetap relevan," katanya selepas Program Jejak Gemilang Murid Terbilang di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, di Kuala Berang semalam.

Ahmad Said berkata sejak diperkenalkan dua tahun lepas, e-Book mendapat sambutan baik daripada kalangan ibu bapa selain menunjukkan perubahan positif khususnya daripada segi pencapaian pelajar dalam peperiksaan.

"Selain itu ia sangat ringan dan tidak membebankan pelajar yang tidak perlu membawa buku teks ke sekolah dan yang paling menarik dengan e-Book, guru-guru dapat mengadakan peperiksaan menerusi talian kepada pelajar," katanya.

No comments:

Post a Comment