Wednesday, June 30, 2010

Felda tingkat kehidupan peneroka, generasi muda

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) salah satu agensi yang memberi sumbangan besar terhadap pembangunan negara, selain membantu meningkatkan kehidupan warga Felda dan generasi muda.

Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Abd Malib Abd Rani, menjelaskan demikian sebagai menolak dakwaan pembangkang bahawa Felda muflis atau bankrap.

Menurutnya, pelbagai insentif diberi kepada generasi kedua termasuk pembelajaran percuma sambil memberitahu kira-kira 24 pelajar termasuk beberapa dari Terengganu ditawarkan ke luar negara tahun ini, selain pembangunan infrastruktur, meningkatkan bidang keusahawanan dan modal insan.

“Hakikatnya Felda tidak bankrap, Felda sentiasa meneruskan usaha membangunkan masyarakat peneroka terutama melibatkan generasi kedua.

“Mana ada agensi lain ada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sendiri sebagaimana Felda yang turut menghantar ke kolej dan ada yang mendapat biasiswa dari Felda untuk menyambung pelajaran terutama ke luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai akhbar Suara Keadilan keluaran 22 hingga 26 Jun lepas yang menyiarkan berita utama di muka hadapan bertajuk “Felda Bangkrap” (ejaan betul Bankrap) dan empat lagi artikel dalam keluaran sama.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut memberitahu bahawa Felda kerap kali mengadakan program mesra rakyat seperti Karnival Jom ke Felda sekali sebulan bermula tahun ini di Terengganu serta program lain yang banyak menggunakan peruntukan Felda.

Lebih membanggakan katanya, apabila ia mendapat sokongan padu daripada warga Felda dan memberitahu bahawa penduduk di kawasan itu berada dalam keadaan baik dan tenang ketika ini.

Dalam masa sama beliau menegaskan, tiada sebarang isu seharusnya dibangkitkan dengan tujuan memburukkan agensi tersebut sambil meminta masyarakat melihat kebaikan terutama membabitkan kejayaan anak Felda.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Felda Malaysia, Hafizan Hassan, yang turut hadir menyampaikan kain rentang mengandungi 2,000 tandatangan daripada warga Felda bagi menyatakan sokongan terhadap agensi tersebut.

Tandatangan itu diambil sepanjang tempoh mengadakan Karnival Jom ke Felda pada 24 hingga 26 Jun lalu di Felda Kerteh Lima, Kemaman.




Sinar Harian

No comments:

Post a Comment